TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

22 November 2012

JAMBATAN SULTAN ISMAIL DITUTUP

MUAR 21 Nov. - Jambatan Sultan Ismail akan ditutup kepada semua lalu-lintas bermula pukul 3 petang Ahad ini hingga pukul 5 pagi keesokannya sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Zulkiflee Abbas berkata, penutupan jambatan itu sempena acara Perarakan Bot Berhias pada malam tersebut selain pengunjung berpeluang beriadah dan bersantai di atas jambatan berkenaan.

Menurutnya, bagi memeriahkan acara tersebut, lebih 140 gerai yang dikendalikan MPM dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) dibuka di atas jambatan itu yang menghidangkan makanan percuma kepada rakyat sambil menyaksikan hari bersejarah berkenaan.

"Dalam tempoh ini, semua laluan dilencongkan menggunakan jambatan kedua untuk ke bandar Muar. Beberapa jalan utama turut ditutup secara berperingkat-peringkat membabitkan Jalan Bakri bermula dari Bulatan Bakri di persimpangan Jalan Meriam hingga ke Jambatan Sultan Ismail.

"Jalan Maharani bermula di persimpangan Jalan Sayang hingga ke persimpangan Jalan Hashim dan Jalan Abdullah bermula di persimpangan Jalan Haji Abu hingga ke persimpangan Jalan Maharani juga akan ditutup," katanya semasa ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, Perhentian Bas Bentayan juga akan ditutup buat sementara waktu bermula pukul 5 petang Sabtu ini hingga pukul 5 pagi keesokannya tetapi kaunter-kaunter tiket tetap dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Bagi mengatasi masalah tersebut, katanya, perhentian bas ekspres dan teksi sementara akan dibuka di Jalan Bentayan mulai pukul 3 petang pada hari berkenaan.

"Penumpang yang menuju ke Segamat, Tangkak, Bukit Gambir dan Gersik, bas di laluan ini akan menunggu di ruang tempat letak kereta di sebelah kilang ST di Tanjung Agas," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli meminta orang ramai berwaspada dan mengikut arahan papan tanda yang diletakkan untuk memasuki bandar ini berikutan beberapa jalan utama akan ditutup secara berperingkat-peringkat sempena sambutan itu.

Katanya, kemuncak sambutan adalah esok iaitu Hari Keputeraan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan semua laluan utama ditutup keseluruhannya bermula 7 pagi sehingga acara selesai.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 NOVEMBER 2012

Tiada ulasan: