LEDANG 27 Dis. - Lebih 10,000 pelajar dari 10 buah sekolah rendah dan
32 sekolah menengah di daerah ini akan diberi pendedahan pemantapan
penguasaan Bahasa Inggeris (BI) bermula tahun depan.
Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, kaedah yang
digunakan adalah menerusi penganjuran program berbentuk pertandingan
seperti choral speaking yang dilihat dapat membina keyakinan diri pelajar.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri berkata, Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang
penting dan pelajar yang mampu menguasainya dengan baik mempunyai
peluang masa depan yang lebih cerah.
"Memang setiap sekolah sudah ada program pertandingan sebegini tetapi
kita mahu lakukan lebih kerap. Apabila pertandingan seperti ini
dianjurkan mereka akan lebih bersedia dengan latihan dan akhirnya
pelajar mahir dan fasih untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris," katanya
selepas merasmikan Majlis Penyampaian beg sekolah kepada pelajar miskin
dan anak yatim sumbangan Nasmir Holdings Sdn. Bhd. dan Yayasan Pelajaran
Mara anjuran Biro Pendidikan UMNO Bahagian Ledang di Sekolah Kebangsaan
Ledang di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang berkata, usaha itu perlu
mendapat sokongan semua pihak supaya agenda kecemerlangan pendidikan di
kawasan Parlimen berkenaan mencapai matlamatnya.
Menurutnya, secara keseluruhannya penguasaan Bahasa Inggeris pelajar
di kawasan Parlimen tersebut masih berada pada tahap kurang memuaskan
berdasarkan keputusan peperiksaan yang diumumkan.
"Hanya ada sekelompok kecil pelajar cemerlang dan mampu menguasai
Bahasa Inggeris dengan baik. Untuk itu kita bertekad mahu meramaikan
kumpulan tersebut," katanya.
Mengenai program tersebut, Hamim berkata, seramai 850 pelajar miskin
menerima sumbangan beg sekolah sebagai persediaan memulakan sesi baharu
persekolahan tidak lama lagi.
"Ini fasa pertama dan sumbangan fasa seterusnya akan dibuat tidak
lama lagi. Kita akan pastikan pelajar yang benar-benar memerlukan
mendapat bantuan sewajarnya.
"Kita minta semua guru mengenal pasti pelajar yang telah menerima
bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) supaya dapat
menerima bantuan tambahan sebagai galakan kepada mereka untuk belajar
dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 DISEMBER 2013