PENGUNJUNG SETIA

15 September 2013

8 AHLI SINDIKET CURI KERETA DITAHAN

HARUN Idris menunjukkan dua kereta curi dilapor hilang di Selangor yang dirampas daripada lapan penjenayah pada sidang akhbar di IPPD Ledang, Johor, semalam. 
 
LEDANG 14 Sept. - Lapan orang, termasuk dua wanita yang merupakan ahli kumpulan sindiket mencuri kenderaan ditahan bersama dua buah kereta curi bernilai lebih RM200,000 di Jalan Sialang, Tangkak di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 37 tahun berasal dari daerah ini, Muar, Kluang dan Melaka ditahan dalam satu serbuan kira-kira pukul 6 petang.

"Mereka yang berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah ditangkap dalam sebuah premis. Kumpulan ini dipercayai terlibat mencuri dalam jenayah curi kenderaan berdasarkan penemuan dua kereta curi, nombor pendaftaran dan cukai jalan yang dipalsukan.

"Polis turut merampas kereta Honda Accord dan Perodua Myvi yang dilaporkan hilang di Kajang, Selangor akhir bulan lalu. Kita berjaya menyelesaikan kes curi dua kereta itu dalam masa dua minggu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Katanya, kesemua suspek merupakan penagih tegar serta tidak memiliki pekerjaan tetap dan dipercayai menjadikan kegiatan jenayah mencuri kenderaan sebagai sumber pendapatan utama.

Idris memberitahu, dua kereta berkenaan yang dicuri di sebuah tempat letak kereta yang sama itu akan diserahkan kepada IPD Kajang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, suspek pertama yang berusia 26 tahun memiliki 16 rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah serta jenayah sejak 2011.

"Polis menemukan enam peket kecil dipercayai dadah jenis syabu ketika menahan suspek dan dia dipercayai bertindak sebagai ketua kumpulan itu," katanya.

Menurutnya, suspek kedua pula berusia 37 tahun turut memiliki 14 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah curi motosikal, curi dalam bangunan serta menceroboh sejak 2011.

"Hasil semakan mendapati seorang lagi rakan mereka memiliki 16 rekod lampau termasuk satu kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta tiga jenayah sejak 2005," katanya.

Sementara itu, dua wanita yang berusia 24 tahun itu juga mempunyai rekod lampau dengan salah seorang daripadanya pernah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Wanita berkenaan dipercayai penagih tegar dan memiliki 13 rekod berkaitan penyalahgunaan dadah sejak 2009 hingga tahun ini," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 15 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: