PENGUNJUNG SETIA

07 September 2013

PAK MATLOB PEJUANG TULISAN JAWI MODEN MENINGGAL DUNIA

 Pak Matlob
BATU PAHAT 6 Sept. - Tokoh ilmu, Mohamad Mokhtar Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob, 76, yang uzur selepas diserang angin ahmar tahun lalu, meninggal dunia pada pukul 6 petang ini di rumahnya di Semerah, di sini.

Allahyarham yang merupakan pejuang tulisan jawi moden menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya selepas mengalami demam sejak dua hari lalu.

Isterinya, Kalifah Md. Yusuf, 60, berkata, Pak Matlob yang lumpuh selepas diserang angin ahmar sejak tahun lalu meninggal dunia selepas majlis marhaban yang diadakan di rumah mereka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Semasa 40 orang kumpulan marhaban wanita berada di rumah, Allahyarham masih kelihatan sihat, cuma ketika mereka hendak pulang, dia sempat meminta maaf pada semua orang.

"Tidak lama selepas kumpulan marhaban pulang, saya rasa tangan Pak Matlob sejuk dan matanya asyik memandang muka saya. Selang beberapa minit, dia memalingkan muka dan memejam mata, ketika itulah Pak Matlob meninggal dunia. Dia pergi dengan senang dan tenang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kalifah menambah, dia reda dengan pemergian Allahyarham yang tenang tanpa kesakitan serta berada di sisinya. 

Katanya, jenazah Allahyarham Pak Matlob akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Nibong pada pukul 10 pagi esok.

Pak Matlob yang merupakan bekas guru sekolah memulakan karya penulisan untuk kanak-kanak pada tahun 1953 sebelum diteruskan dengan penulisan rencana tentang pendidikan, kesusasteraan, kebudayaan dan sosial.

Skrip drama pentas pertama ditulis beliau bertajuk Mekarlah Mawar-Mekarlah Harapan, dipentaskan di Panggung Cathay, Muar pada 28 Mei 1965.

Beliau kemudian menghasilkan karya kanak-kanak untuk Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pada 1965 hingga 1967. 

Selepas menghasilkan 11 novel untuk remaja dan 107 novel untuk kanak-kanak, beliau dilantik sebagai Ketua Unit Pendidikan Jawi untuk akhbar Utusan Melayu.

Allahyarham semasa hayatnya turut mengeluarkan 30 jenis bahan bacaan dan penyelidikan berhubung tulisan jawi moden dalam tempoh tiga tahun.

SUMBER; UTUSAN MALAYSIA, 07 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: