LEDANG 27 Sept. - Penuntut Instrumentasi
Bio-Perubatan, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang di sini,
diminta menggunakan sepenuhnya kemudahan moden dan terkini di kolej itu
dalam usaha melahirkan lebih ramai jurutera bioperubatan terbaik di
negara ini.
Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, produk
dikeluarkan KKTM Ledang seharusnya menjadi antara yang terbaik ketika
Malaysia sedang menuju ke arah status negara maju menjelang 2020 dan
memerlukan ramai pakar dalam bidang berkenaan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri berkata, sesebuah negara maju akan beralih daripada sebuah
industri kepada industri yang lain termasuk Malaysia yang menuju kepada
negara berorientasikan perkhidmatan.
"Negara maju menjadikan industri perkhidmatan sebagai teras dan
bidang perubatan seperti ini adalah satu daripada fokus utama," katanya
ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)
antara Majlis Amanah Rakyat (Mara), Radibems Sdn. Bhd. dan National
Instruments Southeast Asia Sdn. Bhd. di KKTM Ledang di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengurus Besar Radibems, Mohamed Nasir Talib;
Pengarah Urusan National Instruments Southeast Asia, Chandran Nair dan
Pengarah KKTM Ledang, Ahmad Jalaludin Mohd. Wahi.
Hamim berkata, Malaysia perlu menyediakan perkhidmatan perubatan
sebaik mungkin bagi menepati status negara maju dan bukan saja
membabitkan peralatan tetapi juga teknologi, aplikasi serta pengalaman
dan kemahiran.
"Saya mahu lihat pelajar yang dihasilkan di sini mampu bersaing dan
benar-benar menguasai kecanggihan teknologi bio-perubatan yang semakin
berkembang ketika ini. Kalau boleh kita ingin menjadi sebuah negara
tumpuan bagi negara lain dalam bidang ini," katanya.
Menurutnya, negara ini dengan segala kepakaran yang ada perlu
mengenal pasti penyakit-penyakit rumit masa kini dan menjadi perintis
untuk kaedah merawat serta menyembuhkannya.
Pada masa sama katanya, pesakit dalam negara tidak seharusnya
dilupakan dan mereka perlu diberi rawatan terbaik melalui kelengkapan
paling moden serta mampu membiayainya tanpa dibebankan dengan kos
perkhidmatannya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 SEPTEMBER 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan