MUAR 22 Sept. - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 300 anak
yatim, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dari bandar ini dan
Ledang apabila menerima sumbangan daripada syarikat STMicroelectronics
yang telah beroperasi sejak 39 tahun lalu di sini.
Sumbangan melalui Program Kami Prihatin itu disampaikan Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan Pengurus Besar
STMicroelectronics, Tan Chun Sheng di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama
(SMKA) Maahad Muar, di sini hari ini.
Program anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Muar dan
Ledang itu turut dihadiri Pegawai JKM Muar, Nazri Hussin; Pegawai JKM
Ledang, Norhayati Kadir dan Naib Presiden Kumpulan Bahagian Pembangunan
Mapan Korporat syarikat itu, Alain Danielle.
Chun Sheng berkata, program tersebut merupakan salah satu
tanggungjawab sosial syarikat berkenaan bertujuan menzahirkan
keprihatinan syarikat tersebut terhadap komuniti setempat terutamanya
golongan yang kurang bernasib baik.
"Menerusi program seumpama ini, kita dapat merapatkan lagi
perhubungan supaya lebih mesra dan berharap penerima berasa sentiasa
diberi perhatian oleh masyarakat.
"Perkara ini amat penting kerana dapat menyuntik semangat dan sebagai
motivasi kepada mereka untuk menghadapi kehidupan pada masa akan
datang," katanya.
Selain itu, program tersebut dapat memberi pendedahan kepada orang
ramai tentang keadaan golongan kurang bernasib baik dan memberi
kesedaran tentang perkhidmatan yang disediakan pihaknya.
Sementara itu, Abd. Razak berkata, peranan yang dimainkan syarikat
tersebut amat dihargai dan kerajaan negeri mengalu-alukan usaha murni
seperti itu supaya golongan kurang bernasib baik tidak disisih atau
dilupakan.
Beliau berkata, kewujudan kilang STMicroelectronics hampir 40 tahun
di Tanjung Agas dekat sini sememangnya sinonim dengan penduduk setempat
selain memberikan 300 peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 SEPTEMBER 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan