PENGUNJUNG SETIA

09 September 2013

PLATFORM GURU KETENGAH PANDANGAN, IDEA

USAHA Utusan Malaysia memperkenalkan program Lembaga Editorial Sekolah (LES) sangat bertepatan dengan kehendak usaha transformasi pendidikan negara melalui penulisan berkualiti tinggi guru di ruangan Pendidikan.

Kata Penolong Kanan 1 Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ledang, Roslan Ahmad, LES merupakan platform kepada guru mengetengahkan pandangan masing-masing di gelanggang akhbar, selain di jurnal-jurnal pendidikan.

Beliau memberitahu, guru memang perlu menguasai kemahiran penulisan untuk melancarkan lagi keperluan tugasan hakiki yang memerlukan banyak kerja menulis seperti menyediakan modul pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta penulisan jurnal yang menyentuh isu-isu pengurusan, akademik dan pentadbiran.

"LES juga boleh menjadi platform kepada pembangunan kerjaya," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sijil Ahli LES kepada guru SMK Ledang, Md Ishak A. Rahman di Tangkak, Johor baru-baru ini.

Malah, kata Roslan, wacana itu mencerminkan kompetensi dan keterampilan penulisnya dan boleh digunakan dalam kriteria pemilihan guru cemerlang.

Bagaimanapun penulisan berkenaan perlu sesuai dengan kedudukan mereka sebagai penjawat awam.

Beliau menambah, Pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri memang meminta bahan-bahan penulisan daripada guru untuk disiarkan dalam jurnal.

Sementara itu, Md Ishak gembira menerima sijil keahlian LES dan menganggapnya satu penghargaan yang tinggi kepadanya oleh pihak Utusan Malaysia.

''Selepas ini saya cuba menulis lagi untuk memenuhi amanah sebagai LES," katanya.

LES adalah ruangan khas untuk menggalakkan pendidik atau pentadbir sekolah menyumbang buah fikiran tentang isu semasa berkaitan dengan pendidikan.

Hantarkan sumbangan anda melalui e-mel kepada pendidikan@utusan.com.my. Panjang karya sekitar dua helai kertas bersaiz A4.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: