LEDANG 3 Sept. - Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Shah Alam hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan
Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) untuk terus melakukan kajian dan
penyelidikan saintifik di Taman Hutan Lagenda, di sini.
MoU itu dimeterai Reaktor UiTM Johor, Dr. Omar Samat yang mewakili
UiTM Shah Alam nmanakala Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam
Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat mewakili PTNJ.
Majlis tersebut disaksikan Pengarah PTNJ, Suhairi Hashim dan Timbalan
Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM Shah Alam, Prof. Dr. Ir.
Abdul Rahman Omar dan merupakan lanjutan daripada kerjasama sebelum ini.
Abdul Rahman berkata, MoU itu bertujuan mengumpulkan data
persekitaran fizikal, ekosistem dan kepelbagaian biologi, menjalankan
penilaian sosioekonomi, fungsi alam sekitar dan sebagainya.
Menurutnya, kajian dan penyelidikan itu juga untuk menilai sumber
bagi industri ekopelancongan dan daya tarikannya serta mengenal pasti
ancaman semasa dan jalan penyelesaiannya.
"Kita juga mahu berkongsi kepakaran serta pengalaman untuk meneroka
dan mengeksploitasi khazanah yang ada di Taman Hutan Lagenda, apa sahaja
sama ada bahan galian, logam dan ini semua akan didokumentasikan.
"MoU ini akan diperbaharui setiap tiga tahun dan merupakan lanjutan
daripada Ekspedisi Saintifik UiTM-PTNJ 2011. Untuk rekod baharu di sini,
kita temui antaranya spesies flora yang masih tidak punya nama tempatan
tetapi nama saintifiknya 'Maesa fraserian' yang tidak terdapat di
tempat lain kecuali di Fraser Hill, Pulau Pinang," katanya.
Abdul Rahman berkata, penemuan baharu itu sudah tentu akan memberi
kesan kepada pembangunan sosioekonomi negara seterusnya mendekatkan lagi
UiTM dengan masyarakat untuk membongkar kekayaan yang terdapat di situ.
Beliau berkata, hasil kajian yang disertai seramai 100 penyelidik
dari pelbagai latar belakang termasuk melibatkan Universiti Tun Hussein
Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti
Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu didokumentasikan dalam tiga buah
buku dan filem.
Tiga buah buku itu yang bertajuk Gunung Ledang: An Expose of Biodiversity, Gunung Ledang: Geology, Biodiversity and Socio-enonomic Environment dan A Photographic Tribute To The Wild Orchids of Johor National Parks dilancarkan hari ini sebelum MoU tersebut.
Sementara itu, Suhairi berkata, pelbagai penerokaan dan penemuan
biodiversiti telah direkodkan dan kepelbagaian flora dan fauna ditemui
akan dibukukan supaya dapat dijadikan rujukan pada masa depan.
Katanya, tanggungjawab PTNJ amat berat dalam memelihara dan
memulihara seluruh kawasan biodiversiti di kawasan yang diwartakan
sebagai Taman Negara Johor dan sebarang usaha ke arah itu amat
dialu-alukan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 SEPTEMBER 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan