PENGUNJUNG SETIA

13 September 2013

KISAH 'SURVIVAL' SEBUAH AKHBAR DALAM DUNIA DIGITAL

Mohd Kamil Yusuff
PENULIS ialah Pengarang Utusan Melayu Mingguan.
TIGA suku abad adalah satu jangka masa yang lama. Tidak ramai yang mampu bertahan ke tahap itu. Begitu juga dalam industri akhbar. Tidak banyak akhbar atau syarikat akhbar yang dapat menyambut hari jadinya yang ke-75, dalam keadaan 'sihat, tegap dan berjiwa muda.' Malah, banyak yang sudah tidak wujud lagi.
Namun, Utusan Melayu (M) Berhad membuktikannya. Di sebalik cabaran getir dan onak duri yang dilalui sepanjang perjalanan berlikunya 75 tahun lalu, ia tetap teguh berdiri sebagai satu institusi yang memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu di negara ini.
Tidak seinci pun ia berundur daripada perjuangan asalnya, walau seribu satu badai datang melanda. Semangat dan perjuangan 20 tokoh pejuang Melayu yang berkumpul di rumah pemimpin Kesatuan Melayu Singapura (KMS), Daud Mohd Shah pada suatu hari pada 1938 untuk menerbitkan akhbar Melayu itu, masih membara.
Seiring dengan semangat perjuangan tersebut, akhbar pertama syarikat Melayu itu dalam tulisan jawi menemui pembaca pada 29 Mei 1939, kira-kira setahun selepas penubuhan syarikat di Singapura.
Tokoh Wartawan, Tan Sri Abdul Samad Ismail berkata, penerbitan akhbar itu besar ertinya kepada bangsa Melayu seluruhnya. Beliau menyifatkannya sebagai puncak kejayaan bangsa Melayu dalam bidang media cetak.
Produk pertama Utusan Melayu itu yang menjadi wadah perjuangan bangsa Melayu terus berkembang menjadi sebuah akhbar yang berpengaruh dan disegani. Sejak itu akhbar ini tidak pernah gagal menemui pembacanya setiap hari.
Abdul Rahim Kajai memimpin akhbar tersebut sebagai pengarangnya yang pertama. Antara wartawan terkenal yang kemudiannya menjadi pengemudi akhbar orang Melayu itu ialah Abdul Samad Ismail. Othman Wok, Keris Mas, Melan Abdullah, Hussein Hamid dan Salleh Daud.
Sejak itu akhbar menggunakan tulisan warisan orang Melayu itu mula mewarnai corak dan pemikiran orang Melayu pada masa itu. Ia menjadi citra bangsa Melayu dalam segenap perkara. Malah, Presiden UMNO yang pertama, Datuk Onn Jaafar menyifatkan perjuangan parti itu adalah hasil seruan dalam akhbar Utusan Melayu.
Tulisan jawi yang bertapak di negara ini sejak 1303 Masehi menjadi medium penting dalam perkembangan persuratkhabaran Melayu di Tanah Melayu. Akhbar jawi pertama Jawi Peranakan yang diterbitkan pada 1867 menjadi batu tanda kepada industri ini.
Tidak kurang daripada 10 buah akhbar Melayu dalam tulisan jawi muncul selepas Jawi Peranakan. Daripada jumlah tersebut hanya akhbar jawi Utusan Melayu masih kekal sehingga ke hari ini walaupun tidak diterbitkan secara harian dan sudah beralih teknologi.
Sepanjang sejarahnya, hanya tiga kali akhbar Utusan Melayu ini 'terhenti' penerbitannya. Pertama pada 15 Februari 1942 apabila Jepun menawan Singapura. Jepun bagaimanapun mengarahkan akhbar ini bergabung dengan Warta Malaya menjadi Berita Malai, sebuah akhbar propaganda negara matahari terbit itu.
Namun, tiga tahun kemudian, Jepun menyerah kalah dan syarikat Utusan Melayu (dulunya dikenali sebagai Utusan Melayu Press Limited) dihidupkan semula. Maka pada 17 September 1945, akhbar jawi Utusan Melayu kembali diterbitkan.
Kali kedua denyut nadi akhbar Utusan Melayu terhenti ialah pada 22 Julai 1961. Tentu ramai bekas-bekas pekerja Utusan Melayu masih ingat detik-detik hitam gelombang penentangan pekerja-pekerja terhadap majikan mereka melalui mogok hampir tiga bulan itu.
Walaupun sebanyak 115 pekerja Utusan Melayu di Kuala Lumpur melancarkan mogok, namun akhbar itu dapat diterbitkan semula beberapa hari kemudian atas usaha Melan Abdullah dan Othman Wok. Ia dicetak oleh percetakan luar iaitu Print Craft.
Dan kali ketiga Utusan Melayu tidak menemui pembacanya seperti biasa ialah pada 26 Januari 2006 apabila ia dihentikan penerbitannya ekoran masalah kos penerbitan, selain tiada sambutan dan kekurangan pembaca.
Bagaimanapun dengan keprihatinan pihak-pihak tertentu, atas dasar mempertahankan satu-satunya tulisan warisan bangsa Melayu, akhbar ini diterbitkan beberapa bulan kemudian, secara mingguan yang dikenali sebagai Utusan Melayu Mingguan.
Namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, edisi cetak akhbar mingguan jawi ini terpaksa dihentikan pada 1 Julai lalu. Bagaimanapun 'hayat' akhbar ini masih bertahan dan perjuangan asalnya diteruskan melalui edisi digital.
Akhbar itu pada masa kini boleh dilayari melalui Utusan Online dan akhbar elektronik (e-paper) Utusan Malaysia. Akhbar elektronik Utusan Melayu Mingguan ini akan dapat dilayari melalui aplikasinya sendiri pada Oktober depan.
Ketika akhbar jawi ini dihentikan penerbitannya kali ketiga pada Januari 2006, ramai yang meratapi 'pemergian' akhbar yang sangat berjasa kepada umat Melayu ini. Maka, ramailah yang menyalahkan Utusan Melayu kerana didakwa 'menguburkan' identiti bangsa ini.
Di sebalik itu, tidak ramai yang tahu betapa sukarnya untuk memberi nyawa kepada akhbar yang semakin tenat ketika itu. Dengan edarannya yang semakin merosot saban hari, syarikat tidak mampu lagi menanggung kos penerbitannya yang semakin meningkat.
Natijahnya, kemerosotan pembaca akhbar Utusan Melayu adalah antara lain disebabkan oleh tidak ramai yang boleh membaca dan menguasai tulisan jawi. Hal ini demikian kerana tulisan ini dianggap tidak sepenting tulisan rumi yang menjadi kegunaan seharian di seluruh dunia.
Bukan hendak mengangkat bakul sendiri, tetapi hakikatnya hanya syarikat Utusan Melayu yang kelihatan berseorangan dan begitu bersungguh-sungguh memperjuang serta memartabatkan tulisan jawi. Mungkin tidak ada syarikat lain yang sanggup menanggung kerugian bertahun-tahun hanya untuk memastikan tulisan nenek moyang bangsa mereka terus malar segar.
Ini adalah satu lagi 'bencana' yang menimpa bangsa Melayu apabila warisan nenek moyang mereka sendiri sudah tidak dipedulikan lagi. Kurang kesedaran dan semangat jati diri dalam kalangan orang Melayu untuk memartabatkan tulisan jawi menyebabkan tulisan itu semakin terpinggir.
Utusan Melayu adalah secebis kisah sedih bangsa Melayu dalam industri persuratkhabaran di negara ini. Orang Melayu yang merupakan penduduk terbanyak iaitu kira-kira 15 juta orang tidak mampu mempertahankan satu-satunya akhbar jawi milik mereka, warisan zaman berzaman.
Sebaliknya, kaum Cina yang jumlahnya kira-kira tujuh juta orang di negara ini memiliki 15 buah akhbar dalam tulisan mereka, manakala masyarakat India Malaysia yang berjumlah kira-kira dua juta orang pula mempunyai tidak kurang daripada tiga akhbar harian tulisan tamil.
Begitulah kisah survival sebuah akhbar yang mendokong perjuangan bangsa. Akhbar yang lahir dari air mata dan keringat Melayu. Akhbar yang besar pengaruhnya dalam pembentukan sejarah negara. Akhbar yang turut sama mengukir ketamadunan bangsanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: