PENGUNJUNG SETIA

02 September 2013

PERTANIAN AKUAPONIK JADI ALTERNATIF BAHARU

ABDULLAH Rashidi (kanan) menunjukkan hasil pertanian bandar dengan kaedah akuaponik yang lebih mesra alam dan menjimatkan yang diperkenalkan oleh Pejabat Pertanian Ledang ketika ditemui di Ledang, Johor, baru-baru ini. 
 
LEDANG 1 Sept. - Kesukaran mendapatkan tapak pertanian berskala kecil kini bukan lagi satu masalah buat penduduk bandar malah ia boleh dikomersialkan menerusi pertanian baharu dengan kaedah akuaponik yang lebih mesra alam dan menjimatkan.

Dibangunkan oleh Pejabat Pertanian Ledang, teknik pertanian moden itu boleh menjimatkan wang dapur sekeluarga terutama bagi belanja membeli sayur dan ikan segar dan boleh diusahakan di mana-mana saja seperti di laman rumah dengan hasil boleh dituai dalam tempoh yang singkat.

Berkonsepkan 4T iaitu tanam, ternak, tinggal dan tuai, akuaponik yang menggabungkan penanaman dan pemeliharaan ikan dalam satu bekas bertingkat menjurus kepada pertanian bandar dengan hasil tuaian bersifat organik kerana ia tidak menggunakan bahan kimia.

Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, menerusi kaedah berkenaan pengusaha boleh menanam pelbagai jenis sayur seperti salad, sawi, cili, terung, bendi dan pada masa sama memelihara ikan air tawar atau udang galah dalam bekas khas.

Katanya, menerusi kaedah itu, air daripada bekas takungan ikan berkenaan akan disalurkan ke bahagian atas untuk memberikan baja kepada sayur-sayuran menerusi mesin dan injap khas yang juga bertindak membersihkan kotoran.

"Pokok memerlukan baja daripada ikan iaitu ammonia nitrat dan kaedah ini secara automatik menyalurkan air ke bahagian yang memerlukan tanpa perlu pemilik menjaganya. Ia amat mesra alam dan tidak perlu dijaga dengan rapi seperti sayur-sayuran biasa.

"Air ternakan ikan atau udang akan naik ke bahagian atas (tanaman) menerusi pam air yang dipasang bagi membekalkan nutrien yang diperlukan oleh pokok menerusi najis ikan berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di bandar Tangkak, kelmarin.

Abdullah berkata, kaedah pertanian itu sudah lama diperkenalkan dan dengan wujudnya peralatan baharu seperti injap mampu melaksanakan tugas tanpa perlu pemantauan seterusnya memberi lebih ruang penyesuaian terutama bagi yang tidak memiliki kawasan tanah pertanian.

Beliau menjelaskan, penanaman dan pemeliharaan ikan itu dibuat dalam bekas khas dua tingkat sebesar kira-kira satu meter yang diisi dengan hidraton atau guli tanah liat atau batu sungai yang mampu bertahan selama 10 tahun serta mesin penyedut air dan injap.

Katanya, hasil boleh dituai dalam tempoh kira-kira dua minggu bergantung kepada jenis tanaman manakala ikan atau udang galah memerlukan tempoh lima bulan.

"Sebenarnya kami mulakan program ini untuk memberi ruang kepada penduduk bandar khususnya yang mahu bertani tetapi kekurangan tanah, sekurang-kurangnya ia mampu menjimatkan banyak wang untuk membeli sayur-sayuran dan ikan setiap minggu," katanya.

Abdullah menjelaskan, kaedah itu boleh dibuat sendiri oleh mereka yang berminat mengikut kesesuaian, namun pihaknya juga menawarkan peralatan pada harga RM600 dan RM900 setiap unit bergantung kepada saiz.

Kata beliau, pihaknya juga menyediakan khidmat nasihat kepada yang berminat mengusahakan kaedah pertanian berkenaan dan sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 06-9786570.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: