PENGUNJUNG SETIA

06 September 2013

MASJID BARU BUKIT GAMBIR

Ledang: Sebuah masjid baru bernilai RM7 juta akan dibina di pekan Bukit Gambir bagi menggantikan masjid lama yang dibina pada 1964, selain memberi keselesaan kepada penduduk setempat untuk beribadat.

Pengerusi Masjid Jamek Bukit Gambir, Abu Bakar Md Affandi berkata, masjid sedia ada yang dibina dengan kos RM35,000 hanya mampu menampung 400 jemaah untuk solat Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha.

"Walaupun pembesaran masjid pernah dilakukan pada 2000, ia masih belum mampu menampung jemaah dari lima kampung dan 11 taman perumahan di sekitar Bukit Gambir.

"Rancangan membina masjid baru di tapak sedia ada sememangnya amat dinantikan, buat masa ini, usaha mendapatkan peruntukan RM7 juta daripada Kerajaan Pusat masih dijalankan," katanya.

Abu Bakar berkata, selain penduduk kampung dan taman perumahan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Balai Polis Bukit Gambir, pekerja kilang serta pasar raya di pekan itu turut ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat Jumaat.

Katanya, pertambahan penduduk berikutan pembinaan taman perumahan baru turut menambahkan bilangan jemaah yang menggunakan masjid berkenaan.

"Masjid baru ini mampu menampung sehingga 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

"Kami juga mengalu-alukan sumbangan daripada individu atau korporat bagi menambah dana bagi pembinaan masjid ini," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 06 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: