Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my
LEDANG 14 Sept. - Seorang anggota polis bantuan
berpangkat Lans Koperal dipercayai membunuh isterinya sendiri sebelum
menembak mati bapa mentua dan membunuh diri dalam dua kejadian
berasingan di Labis dan Jalan Sialang, dekat sini malam ini.
Mangsa ialah Norakmal Abd. Kadir, 26, yang merupakan kerani sebuah
sekolah menengah di Tangkak dan ayahnya, Abd. Kadir Md. Arif, 65.
Suspek yang juga anggota Pondok Polis Felda Chempelak, Labis, Segamat
dekat sini, dikatakan menembak bapa mentuanya di Tangkak kira-kira
pukul 7 malam sebelum membunuh diri.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia mendengar seperti
bunyi mercun sebanyak dua kali di rumah mangsa kira-kira pukul 7.15
malam.
Katanya, dia cuba melihat tetapi tidak mengesyaki sebarang perkara
buruk sebelum tiba-tiba anak mangsa meluru ke rumahnya dan memberitahu
ayahnya ditembak suspek yang juga abang iparnya.
"Saya amat terkejut dan memberanikan diri untuk melihat ke dalam
rumah. Selepas masuk ke rumah saya lihat dua tubuh terbaring di ruang
tamu berlumuran darah dan mangsa masih hidup ketika itu tetapi
keadaannya parah," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Katanya, sebelum kejadian, dia melihat suspek pulang ke rumah bapa
mentuanya bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun menaiki kereta
Proton Wira.
Tambahnya, dia kemudian melihat anak perempuan mangsa keluar bermain
bersama anak suspek di luar rumah manakala suspek dikatakan berada dalam
rumah bersama bapa mertua serta adik ipar lelakinya.
"Ketika masuk ke ruang tamu itu saya melihat mangsa sudah terlentang
di lantai dalam keadaan nazak manakala suspek tertiarap di atas meja.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 15 SEPTEMBER 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan