Sebuah masjid baru bakal dibina atas tapak Masjid Bukit Gambir yang berusia 50 tahun apabila permohonan peruntukan RM7 juta diluluskan Kerajaan Pusat.
 
LEDANG – Masalah kesesakan setiap kali solat Jumaat di Masjid Jamek Bukit Gambir, di sini, bakal diatasi apabila sebuah masjid baru yang lebih luas bakal dibina di tapak asal bagi menggantikan masjid sedia ada.

Pengerusi Masjid Jamek Bukit Gambir, Abu Bakar Md Affandi berkata, masjid tersebut dijangka bernilai RM7 juta akan dibina sebaik peruntukan sebanyak RM7 juta daripada Kerajaan Pusat  diluluskan.
Menurutnya, masjid itu kelak dijangka mampu menampung 1,200 jemaah pada satu masa secara tidak langsung memberikan keselesaan kepada jemaah untuk beribadat.

“Bangunan berusia hampir 50 tahun dibina dengan kos RM35,000 itu hanya mampu menampung 400 jemaah terutama ketika solat Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha.

“Tahun 2000, pembesaran masjid dilakukan, namun ia masih belum dapat menampung jemaah dari lima kampung dan 11 taman perumahan di sekitar Bukit Gambir,” katanya.

Abu Bakar berkata, kedudukan masjid itu yang strategik di tepi jalan utama menghubungkan Muar ke Pagoh membuatkan ia menjadi pilihan orang ramai untuk singgah menunaikan ibadah.

Namun katanya, bilangan jemaah dijangka meningkat apabila Plaza Tol Bukit Gambir yang masih dalam pembinaan siap hujung tahun ini, di samping pembukaan banyak kawasan perumahan di sini.

“Perancangan membina bangunan baru amat dinantikan penduduk terutama selepas bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyelesaikan masalah pengambilan balik tanah bernilai RM2 juta.

“Selain untuk tujuan ibadat, masjid itu turut digunakan dalam majlis keramaian seperi Maulidur Rasul, kelas takmir dan kursus haji,” katanya.

Sehubungan itu, syarikat korporat dan orang ramai boleh menghulurkan sumbangan untuk menjayakan pembinaan masjid yang menjadi mercu tanda kawasan itu.

SUMBER: SINAR HARIAN, 21 SEPTEMBER 2013