LEDANG – Sungai Mati merupakan sebuah pekan kecil yang dilihat agak ketinggalan daripada menerima limpahan pembangunan berbanding pekan-pekan lain di daerah ini.

Kedudukannya dilihat strategik iaitu terletak kira-kira 18 kilometer (km) dari bandar Tangkak, 11km ke bandar Muar dan 16km ke pekan Bukit Gambir.

Di pekan itu, terdapat lebih 20 deretan bangunan kedai lama yang dibina tahun 1927 dan satu ketika dulu pernah menjadi tumpuan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Yang dipertua Majlis Daerah Tangkak, Ab Han Ramin berkata, tiada cadangan untuk pembangunan di pekan itu kerana mahu mengekalkan bangunan asal yang mempunyai nilai sejarah.

Menurutnya, langkah proaktif diambil dengan mengecat bangunan berkenaan pada awal tahun ini untuk tujuan memulihara dan memelihara bangunan terbabit supaya kelihatan cantik dan tidak dipandang mati seperti nama pekan itu.

“Kita kekalkan bangunan ini kerana tidak mahu daerah ini kekurangan bangunan lama yang  bersejarah.

“Kita akan membaik pulih rumah terbiar berhampiran pekan itu yang sebelum ini pernah dicadangkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman,” katanya.

Sementara itu, Adun Serom, Abdul Razak Minhat berkata, pekan Sungai Mati adalah kawasan tepu berdasarkan keluasan kawasan itu yang terhad dan tidak sesuai untuk pembangunan.

“Saya ada perancangan untuk menaik taraf jalan di pekan itu bertujuan melancarkan aliran trafik kerana sering mengalami kesesakan pada waktu puncak ketika tamat sesi persekolahan.

“Saya juga akan mohon Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya menaik taraf jalan di sepanjang  pekan Sungai Mati,” katanya yang memberitahu terdapat kira-kira 7,600 penduduk di Sungai Mati.

SUMBER: SINAR HARIAN, 02 SEPTEMBER 2013