LEDANG 3 Sept. - Kawasan rekreasi dan kolam mandi baharu akan dibina
di Taman Hutan Lagenda di sini, dengan kos lebih RM10 juta bagi menambah
kemudahan menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi pelancongan
tersebut.
Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Suhairi Hashim
berkata, kelulusan melakukan kerja-kerja berkenaan di kawasan kaki
Gunung Ledang itu telah diperoleh dan diharap dapat dimulakan awal tahun
depan.
"Kerja-kerja ini akan dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan
alam semula jadi di kawasan sekitarnya tidak terjejas atau mengalami
kerosakan. Projek ini sudah dirancang sejak 2009 tetapi terpaksa
ditangguhkan sebelum ini.
"Kita hadkan pembangunan di Taman Hutan Lagenda. Sebarang bentuk
pembangunan di Gunung Ledang akan dilakukan pada tahap minimum," katanya
dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Ekspedisi
Saintifik 2013 di taman berkenaan, dekat sini hari ini.
Seminar tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat.
Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Dr. Ir. Abdul Rahman
Omar.
Turut dilancarkan dalam majlis itu ialah tiga buah buku hasil kajian
dan penyelidikan saintifik UiTM Shah Alam dan PTNJ di Taman Hutan
Lagenda bertajuk 'Gunung Ledang: An Expose of Biodiversity', 'Gunung
Ledang: Geology, Biodiversity and Socio-enonomic Environment' dan 'A
Photographic Tribute To The Wild Orchids of Johor National Parks'.
Dalam majlis itu, turut ditandatangani memorandum persefahaman (MoU)
antara UiTM Shah Alam yang diwakili Reaktor UiTM Johor, Dr. Omar Samat
dan pihak kerajaan negeri diwakili Ayub bertujuan meneruskan kerjasama
yang dipelopori sebelum ini.
Suhairi berkata, dengan adanya kawasan rekreasi dan kolam mandi
buatan itu akan mempelbagai kemudahan selepas pihaknya menaik taraf
jalan utama dari pekan Sagil ke pintu masuk Taman Hutan Lagenda yang
siap Februari tahun lalu.
Beliau berkata, perbelanjaan untuk membina jalan tersebut kira-kira
RM3 juta termasuk kos pengambilan tanah penduduk dan laluan itu kini
terbukti meningkatkan lagi imej kawasan itu.
Sementara itu, Ayub menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri
terhadap kerjasama dan sebarang usaha membangunkan bidang kajian dan
penyelidikan di negeri ini.
"Hal ini selaras dengan matlamat penubuhan PTNJ dalam meneraju bidang
pembangunan di Johor khasnya dan melalui usaha ini dapat memartabatkan
nama negara di mata dunia setanding dengan negara-negara lain.
"Saya berharap PTNJ akan terus meningkatkan kerjasama dengan pelbagai
pihak untuk terus meneroka kekayaan khazanah dan kepelbagaian biologi
yang kita miliki di negeri ini supaya dapat dimanfaatkan bersama,"
katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 SEPTEMBER 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan