PENGUNJUNG SETIA

16 September 2013

FADZLY POLIS CEMERLANG, DEDIKASI

Ledang: Lans Koperal Fadzly Omar yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak diri sendiri, adalah anggota polis yang berdedikasi dan mempunyai rekod disiplin cemerlang.

Suspek berusia 28 tahun itu disahkan tidak mempunyai rekod masalah mental, selain mempunyai hubungan baik dengan masyarakat dan rakan sepasukan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris, berkata pihaknya menyiasat semua aspek bagi mengenal pasti motif Fadzly menembak isteri dan bapa mentuanya sebelum membunuh diri.

Siasat motif

"Kita menjalankan siasatan untuk mengetahui motif sebenar suspek bertindak sedemikian.

"Kita masih mengumpul maklumat lanjut daripada keluarga dan rakan setugas serta sumber lain sama ada wujud masalah keluarga ataupun masalah lain," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 7.15 malam kelmarin, Fadzly menembak mati bapa mentuanya, Abdul Kadir Md Arif, 66, sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian di rumah mangsa di Jalan Sialang, dekat sini.

Terdahulu, Fadzly menembak mati isterinya, Norakma Abd Kadir, 28, di kuarters Pondok Polis FELDA Chempelak, Labis sebelum ke rumah mentuanya kira-kira 60 kilometer jaraknya bersama anak mereka, Fatih, 2.

Harun berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 7.15 petang sebelum ke tempat kejadian dan menemui mayat Fadzly di ruang tamu, manakala Abd Kadir yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Tangkak.

SUMBER: BH, 16 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: