JOHOR BAHRU 21 Sept. - Bagi meneruskan legasi bapanya yang merupakan
bekas Menteri Besar, Mohammad Jamil Helmi Abdul Ghani menawarkan diri
bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang yang
dilepaskan penyandangnya, Musa Khatiran yang telah melepasi had usia.
Mohammad Jamil, 31, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sungai
Mati hadir menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 11 pagi dan bakal
berdepan pencabar, Aidil Roslan Mohamad dan Mohd. Razali Ismail.
Beliau ketika ditemui pemberita berkata, hasratnya untuk bertanding
adalah kerana mahu membawa suara generasi muda dalam usaha meremajakan
parti.
"Saya mahu mereka melihat saya sebagai anak muda yang mahukan proses
transformasi politik dalam UMNO terlaksana. Janganlah melihat saya
sebagai anak seorang bekas menteri besar yang sudah menerajui negeri ini
selama 18 tahun.
"Bapa juga menyokong saya dengan keputusan ini, malah turut
menasihatkan saya untuk bersaing secara sihat. Sokongan yang diberikan
adalah sebagai seorang bapa kepada anak, tidak lebih daripada itu,"
ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi anak bekas pemimpin negeri ini iaitu
bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Nornekman Osman juga
bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru.
Nornekman, 39, yang merupakan anak Datuk Osman Sapian bakal
menghadapi tentangan empat penjuru apabila dicabar Ketua Pemuda UMNO
Cawangan Jalan Cempaka, Musbah Yusof dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan
Taman Putera, Saiful Rizal Abd. Ghani serta Ketua Pemuda UMNO Cawangan
Jiran Sepakat, Tom Gaddafi Anwary.
SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 22 SEPTEMBER 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan