PENGUNJUNG SETIA

30 Disember 2012

PASAR LAMBAK BUKIT GAMBIR PINDAH: PENIAGA BIMBANG PERNIAGAAN TERJEJAS, MAHU KEKAL

武吉甘蜜週五市集或再搬‧小販憂生意盼保持現狀

  

 武吉甘蜜週五市集共有百餘個攤檔,方便武吉甘蜜一帶居民購買日常用品。(圖:星洲日報)

(柔佛‧麻坡29日訊)東甲縣議會有意把禮讓縣武吉甘蜜週五市集改為夜市,並搬遷到新地點,惟大部份小販擔憂生意受到影響,冀望當局保持現狀。

武吉甘蜜週五市集約有20餘年的歷史,已先後搬遷2次,現址是在甘蜜4路,共有百餘個攤檔,小販在上午6、7時就陸續擺檔,營業至中午12時。

當局基於市集坐落在商店前,衍生交通問題,同時為了打造更具規模化的市集,因此有意把市集搬遷到甘蜜新鎮的商業區,即甘蜜6路及7路,同時把市集改為每逢星期天晚上擺檔。


 為了遷就商店的營業時間,市集小販在上午10時30分後陸續收檔。(圖:星洲日報)

小販不贊同改營業時間地點

星洲日報走訪武吉甘蜜週五市集時,受訪的小販披露,縣議會官員在兩星期前曾進行問卷調查,僅詢問小販針對市集改為星期四營業的意見,惟沒有提及改為夜市及搬遷一事。

當地大部份小販都不贊同更改營業時間及地點,由於他們都是流動小販,其他時段也會在不同地點擺檔,一旦武吉甘蜜更改營業時間,會影響他們在其他地方的營業行程。

小販表示,他們一向來都遷就當地商店營業的時間,在上午10時30分後就陸續收檔了,不會對當地商店造成影響。

他們指出,市集現址有很多住宅,方便居民購買日常用品,倘若搬遷到建議中的新址,當地是一個商業區,銀行、巴剎也在附近,更容易衍生交通問題,而且一間霸級市場即將投入運作,市集生意一定大受影響。

 東甲縣議會有意把武吉甘蜜周五市集搬遷到甘蜜6路及7路。(圖:星洲日報)

促改用固本制收取租金

受訪小販認為,縣議會與其適考慮搬遷市集,不如檢討市集的租金制度。

他們表示,縣議會除了收取營業執照費,在年餘前制定市集小販每個月須繳交攤位租金,以每格10令吉計算,但是流動小販並非每星期都會開檔,此舉對小販是不公平的。

小販希望,當局能效仿麻坡市議會,以固本制收取租金,意味著只要開檔才需繳還租金。


 雖然武吉甘蜜週五市集位於住宅區及店屋前,小販表示未造成嚴重的交通問題。(圖:星洲日報)

杜騏何:市集對商店影響不大

杜騏何(48歲)表示,市集只在星期五營業,而且小販為了遷就當地的商店,都會自動調整營業的時間,避免影響當地的商店。

他說,在上午10時30分後,當地的商店差不多要開店了,市集小販也就自動陸續收拾,直至中午12時市集就“清場"了,對商店的影響不大,也不會造成嚴重的交通問題。

杜春成:官員未提搬遷市集

杜春成(56歲)表示,縣議會官員在兩個星期前曾來詢問小販是否贊成更改營業時間,當時大部份小販都不贊成,惟當時官員未提及要搬遷市集。

他說,市集已先後搬了兩次,生意也越來越難做,人潮不比以前多,倘若搬到商業區,恐怕生意更加難做。

“當局以交通問題而要市集搬遷,即使搬到新地點,難免也會造成交通問題,到時是不是又要我們搬?"

蘇有進:應檢討攤位租金制

蘇有進(58歲)希望東甲縣議會檢討現有的攤位租金制度,效仿麻坡市議會的固本制度,即只要開檔,小販才需繳還租金。

他說,過去縣議會也是每星期來收取2令吉的租金,可是近期採用每格10令吉的新制度,由於小販一般上都需要3個格子的空間來擺檔,因此每月共需繳交30令吉,意味著每擺一次攤要繳7令吉50仙。

江初儀:市集肇居民出入不便

東甲縣議員江初儀表示,縣政府有意搬遷市集是基於現有的地點是在住宅區,引起居民出入不便,因此在考慮居民的要求後有這個計劃,同時為了讓市集更規模化,吸引人潮,也擬更改營業的時間,相信反應會更好。

他說,市集是地方上的文化,應加以保留,可是現有的地點並非很理想,為了讓市集更熱鬧,才有此建議。

他表示,縣議會將在近期討論有關建議,當局也無任歡迎小販踴躍提出意見和看法。(星洲日報/大柔佛)

(Majlis Daerah Tangkak (MDT) bercadang memindahkan Pasar Lambak Bukit Gambir yang beroperasi setiap pagi Jumaat ke pasar malam dan menempatkannya di lokasi baru. Bagaimanapun, para peniaga tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan mahu ia dikekalkan pada hari Jumaat dan lokasi yang sama.)

 SUMBER: SIN CHEW JIT POH, 30 DISEMBER 2012

26 Disember 2012

KEMPLING JAWA DIHIDUPKAN SEMULA DALAM MAJLIS KHATAN

LEDANG 25 Dis. - Persembahan kempling Jawa yang menjadi tradisi dalam majlis khatan beramai-ramai di daerah itu satu masa dahulu kini dihidupkan semula di Taman Bandar Baru Bukit Gambir, dekat sini, baru-baru ini.

Biasanya persembahan kumpulan dengan alatan muzik tradisional itu diadakan pada sebelah malam serta dimeriahkan lagi dengan upacara menepung tawar dan kenduri melibatkan penduduk setempat dalam suasana penuh kekeluargaan.

Program tersebut sebagai satu simbolik masyarakat Jawa untuk meraikan anak-anak mereka yang bakal menempuh alam dewasa sebelum dikhatankan beramai-ramai keesokan paginya.

Jawatankuasa penduduk taman berkenaan menghidupkan semula tradisi itu dengan memilih 16 kanak-kanak bertuah dalam satu majlis yang dirasmikan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri.

Pengerusi program, Abdullah Mohamed berkata, Perkumpulan Kempling Kampung Parit Kassan itu mengembalikan nostalgia kerana zaman dahulu ia sangat sinonim dengan majlis-majlis berkhatan.

Menurutnya, program berkenaan diharap dapat meneruskan tradisi lama yang kian dilupakan selain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan membentuk satu komuniti yang bersatu padu.

"Secara tidak langsung penduduk melakukan kerja secara bergotong-royong bagi menjayakan majlis ini termasuk mendirikan khemah, memasak dan menyertai program sehingga selesai.

"Kanak-kanak terlibat kemudian dikhatankan di Klinik Kesihatan Bukit Gambir dan program ini amat mendapat sambutan ibu bapa," katanya ketika ditemui dalam majlis itu di balai raya taman tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 DISEMBER 2012

25 Disember 2012

BUNYI KUAT KEJUTKAN TIDUR

Wartawan Sinar Harian
Bunyi kuat kejutkan tidur
Keadaan bumbung rumah Fatimah yang rosak teruk selepas ditimpa pokok kelapa.
 
LEDANG – Seorang warga emas terselamat apabila kediamannya di Lorong Setia, Batu 1 ½ Tajung Agas dekat sini, dihempap pokok kelapa, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 petang itu, Fatimah Othman, 72, hanya menyedari kejadian tersebut setelah terjaga daripada tidur apabila dikejutkan dengan bunyi kuat pada bumbung rumahnya.

Akibat kejadian itu, hampir 70 peratus rumahnya rosak terutamanya di bahagian bumbung.

Menurut anaknya, Zulkifli Idris, 47, seperti kelaziman pada waktu seperti itu, ibunya akan duduk di sofa sambil menonton televisyen di ruang tamu rumah sementara menunggu masuk waktu solat Maghrib.

“Namun pada hari kejadian, tindakan ibu baring dan tidur di lantai telah menyelamatkannya.

“Jika ibu duduk di sofa, pasti perkara buruk yang terjadi kerana pokok kelapa sepanjang 30 meter tumbang dan menghempap bahagian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulkifli yang tinggal pada jarak kira-kira 10 meter dari rumah ibunya memberitahu telah menjangkakan kejadian yang berlaku itu apabila terdengar bunyi kuat dari arah rumah ibunya.

“Tekaan saya menjadi lebih kuat apabila mendengar suara kuat ibu yang berulang kali melaungkan kalimah ALLAH.

“Bimbang sesuatu yang buruk menimpa ibu, saya dan isteri bergegas ke rumahnya untuk menyelamatkannya,” katanya.

Dia lega apabila melihat ibu membuka pintu rumah dalam keadaan selamat, tetapi keadaannya tidak terurus dengan serpihan pokok kelapa memenuhi kepalanya.

Katanya lagi, mujur pokok kelapa yang sudah menjangkau usia 70 tahun itu tidak mempunyai buah, jika tidak, dia tidak dapat membayangkan keadaan ibunya.

“Saya akan berbincang dengan pemilik pokok kelapa ini supaya dapat menebang dua pokok kelapa lain yang dilihat mencondong ke arah rumah ibu kerana tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya.

Difahamkan insiden yang menimpa Fatimah mendapat perhatian Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan beberapa pemimpin setempat yang datang menziarahi serta menghulurkan sumbangan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 25 DISEMBER 2012

EKSPEDISI SAINTIFIK TEMUI SPESIES BAHARU TUMBUHAN, KATAK

LEDANG 24 Dis. - Dua spesies baharu tumbuhan dan katak ditemui hasil Ekspedisi Saintifik Endau-Rompin Trans Selai-Peta 2012 yang dijalankan baru-baru ini.

Penemuan berkenaan akan dipaparkan dalam jurnal saintifik dan diketengahkan ke peringkat dunia supaya kajian lebih lanjut dapat dilakukan untuk mengenal pasti kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di hutan negara ini.

Pegawai Penyelidik Perbadanan Taman Negara Johor, Lili Tokimin berkata, ekspedisi anjuran bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia itu turut disertai pelbagai pihak termasuk universiti tempatan.

Katanya, hasil ekspedisi tersebut, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menemui dua spesies baharu daripada keluarga halia serta tumbuhan renek yang pertama kali ditemui di dunia.

"Spesies ini adalah Scaphochlam Ys Sp yang ditemui di Sungai Marong iaitu kali pertama ditemui. Turut ditemui satu spesies endemik dinamakan Thottea Praetermissa di kawasan Upeh Guling dekat Taman Negara Endau Rompin.

"Selain itu spesies orkid hutan yang sebelum ini hanya pernah ditemui di Sumatera juga dijumpai. Orkid dari spesies Phalaennopsis Zebrina itu pertama kali ditemui di Semenanjung Malaysia," katanya ketika ditemui selepas Seminar Penemuan Saintifik Ekspedisi Endau Rompin Trans Selai-Peta 2012 di Taman Negara Gunung Ledang di sini kelmarin.

Lili berkata, ekspedisi berkenaan turut menemui satu spesies baharu katak di taman negara berkenaan dari keluarga Rana Picturata berwarna hitam dan berbintik kuning.

Katanya, kesemua penemuan flora dan fauna terbabit adalah di kawasan Taka Kunyit dekat Taman Negara Endau-Rompin dan kajian saintifik pada Julai lalu itu dibentangkan dalam seminar tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan dalam seminar berkenaan oleh penyelidik dari pelbagai universiti tempatan dan usaha akan diteruskan untuk mengenal pasti spesies baharu dan langkah untuk terus memeliharanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 DISEMBER 2012

23 Disember 2012

SPESIES BARU ORKID, KATAK DITEMUI

Wartawan Sinar Harian
Spesies baru orkid, katak ditemui
Orkid dari spesis Phalaennopsis Zebrina itu adalah rekod baru di Semenanjung Malaysia.
 
LEDANG - Perbadanan Taman Negara Johor berjaya menemui dua spesies baru bunga orkid dan katak menerusi Ekspedisi Saintifik Endau Rompin Trans Selai-Peta, pada Julai lalu.

Pegawai Penyelidiknya, Lili Tokimin berkata, spesies itu merupakan Scaphochlam Ys Sp yang ditemui di Sungai Marong, jenis tumbuhan kali pertama ditemui dalam bidang sains dan spesies endemik dinamakan Thottea Praetermissa yang dijumpai di kawasan Upeh Guling berhampiran Taman Negara Endau Rompin.

“Turut ditemui satu spesies orkid hutan yang sebelum ini hanya pernah ditemui di Sumatera dan pertama kali ditemui di Semenanjung Malaysia.

“Orkid dari spesies Phalaennopsis Zebrina itu adalah rekod baru di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika pembentangan Seminar Ekspedisi Saitifik Endau Rompin Trans Selai-Peta di Taman Negara Gunung Ledang yang melibatkan 100 peserta, kelmarin.

Lili berkata, penemuan itu akan dipaparkan dalam jurnal saintifik dan diketengahkan ke peringkat dunia supaya kajian lanjut dapat dilakukan untuk mengenal pasti kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di hutan negara ini.

“Ekspedisi anjuran bersama Universiti Tun Hussien Onn Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia ini turut disertai pelbagai pihak termasuk universiti tempatan.

“Hasil daripada ekspedisi itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) juga menemui dua spesies baru daripada keluarga halia serta tumbuhan renek yang pertama kali ditemui di dunia,” katanya.

Pada pertemuan sama, beliau berkata, ekspedisi berkenaan turut menemui satu spesies katak baru di Taman Negara berkenaan dari keluarga Rana Picturata berwarna hitam dan berbintik kuning.
Katanya, semua flora dan fauna terbabit ditemui di kawasan Taka Kunyit dekat Taman Negara Endau-Rompin.

Difahamkan, sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan pada seminar berkenaan oleh penyelidik daripada pelbagai universiti tempatan dan usaha akan diteruskan untuk mengenal pasti spesies baru dan langkah untuk terus memeliharanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 23 DISEMBER 2012

22 Disember 2012

ANGGUN SASAR TAMBAH KEAHLIAN TAHUN DEPAN

Wartawan Sinar Harian
LEDANG - Persatuan Ibu Tunggal Anugerah Gigih Untuk Najjah (Anggun) Mukim Kesang mensasarkan menambah bilangan ahli berdaftar kepada 400 orang pada tahun depan.

Penaungnya, Ab Majid Mistam berkata, sejak ditubuhkan Jun tahun lalu, persatuan itu sudah mempunyai 280 ahli yang berdaftar dengan Hal Ehwal Wanita (Helwa) dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK).

Menurutnya, bilangan ahli berdaftar dijangka dalam ditingkat bagi memperkasakan golongan itu dan terdapat ramai ibu tunggal terdiri pelbagai latar belakang akan dikenal pasti di Mukim Kesang untuk memastikan tiada di antara mereka yang terabai.

“Kita mahu ibu tunggal di sini memainkan peranan sama penting dengan golongan lelaki  untuk membangunkan mukim ini.

“Jawatankuasa Anggun akan menubuhkan biro kebajikan, kaunseling dan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berperanan untuk mengesan ibu tunggal yang mempunyai kemahiran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Persatuan Ibu Tunggal Anggun di Kompleks  Penghulu Mukim Kesang di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Helwa Daerah Ledang, Furaidah Othman dan Pengerusi Anggun, Azizah Md Top.

Ab Majid berkata, Anggun juga sedang merancang untuk menghantar ahli di bawah biro itu mengikuti latihan intensif bagi meningkatkan kemahiran supaya golongan itu boleh berdikari menjana pendapatan masing-masing.

“Ada dalam kalangan ahli persatuan yang mengusahakan perniagaan IKS telah berupaya memasarkan produk mereka ke luar daerah dan Melaka,” katanya.

Tambahnya, ahli persatuan juga aktif melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan antaranya membantu orang miskin, bersahur bersama orang miskin pada Ramadan lalu, gotong-royong membersihkan rumah orang miskin dan mengadakan sukan rakyat.

SUMBER: SINAR HARIAN, 22 DISEMBER 2012

PIBG SK SENGKANG ANJUR PROGRAM BERKHATAN BERAMAI-RAMAI

PESERTA khatan bersama M. Asojan (belakang, tiga kanan) dan Dr. Mohd. Jalil Sharif (dua kanan) bergambar selepas penyampaian sijil penyertaan majlis di Dewan Sri Bestari, SK Sengkang, Bukit Gambir, Ledang, Johor, baru-baru ini. 
 
LEDANG 21 Dis. - Cuti persekolahan ini dimanfaatkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sengkang, Bukit Gambir dekat sini dengan menganjurkan program berkhatan beramai-ramai baru-baru ini.

Program julung kali itu disertai 16 murid berusia antara sembilan hingga 12 tahun dan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan.

Sebelum berkhatan, kesemua peserta dimandikan dalam upacara bersiram yang mendapat kerjasama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir.

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Sharif Mohamed berkata, berkata program itu bertujuan mewujudkan hubungan erat antara ibu bapa dengan pihak sekolah selain dapat menyemarakkan hubungan kemasyarakatan dan semangat gotong-royong dalam masyarakat setempat.

"Kami mahu mengembalikan semula budaya dan adat Melayu yang tidak bercanggah dengan syariat Islam melalui upacara berkhatan beramai-ramai.

"Penyertaan ibu bapa dalam program ini dapat menjimatkan kos untuk membuat kenduri doa selamat di mana mereka mengadakannya secara berkelompok di sekolah," katanya ketika berucap dalam majlis itu.

Yang turut hadir Guru Besar, Basir Konit; Guru Penolong Kanan (GPK) 1, Jailani Ahamad; GPK Hal Ehwal Murid, Noraini Md Dom dan ibu bapa peserta program.

Sharif berkata, kesemua murid yang menyertai program itu dikhatankan oleh Dr. Mohd. Jalil Sharif dari Pusat Perubatan Keluarga yang juga bekas murid sekolah itu yang mempunyai tiga buah klinik di Bukit Gambir, Labis dan Jementah.

Sementara itu Asojan berkata, program berkhatan beramai-ramai itu dapat mengembalikan nostalgia lama dalam kalangan masyarakat Melayu satu ketika dahulu yang mengadakan upacara berkhatan di rumah secara berkelompok.

Katanya, kerajaan sentiasa memberikan tumpuan lebih kepada pembangunan pendidikan di semua peringkat bagi melahirkan modal insan yang berjaya dalam pelbagai bidang dan salah satu contohnya ialah Mohd. Jalil.

"Ini terbukti dengan kejayaan bekas pelajar sekolah ini dalam bidang perubatan iaitu Dr. Mohd Jalil yang sanggup berbakti kepada sekolahnya dengan mengkhatankan peserta program berkhatan beramai-ramai," ujarnya.

Asojan berkata, kerajaan sentiasa prihatin walaupun terdapat anak-anak yang tidak berjaya dalam pelajaran, mereka diberikan kursus kemahiran secara percuma di beberapa institusi kemahiran sebelum memasuki dunia pekerjaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 DISEMBER 2012

18 Disember 2012

HASRAT MILIKI PUSAT AKTIVITI TERCAPAI

Hamim menandatangani plak perasmian Pusat KRT Taman Sri Ledang.
[FOTO HAI ROZZAMAN JALAL/BH]

Tangkak: Penantian Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Ledang, di sini selama 10 tahun bagi mendapatkan tapak menempatkan pusat aktiviti akhirnya tercapai.

Pengerusinya, Salleh Isnin, berkata adanya kemudahan itu, pelbagai aktiviti dapat dijalankan termasuk mesyuarat, kegiatan kemasyarakatan dan pusat Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Katanya, sebelum ini, aktiviti KRT seperti mesyuarat terpaksa diadakan secara bergilir-gilir dari taman ke taman berikutan tiada pusat setempat.

“KRT Taman Sri Ledang dulu dikenali sebagai KRT Tangkak C menaungi enam taman perumahan sekitarnya Taman Sri Ledang, Intan, Mahkota, Sialang 1, Sialang 2 dan Sialang 3.

“Kami bersyukur kerana hasrat mendapatkan tapak menempatkan pusat aktiviti KRT Taman Sri Ledang akhirnya tercapai demi kemudahan kira-kira 1,200 penduduk di kawasan ini.

Pupuk semangat kejiranan

“Melalui KRT ini, semangat kejiranan dan perpaduan antara penduduk dapat dijalin terutama bekerjasama dalam menjalankan aktiviti yang dirancang,” katanya pada program Karnival Jom KRT Taman Sri Ledang di padang permainan Taman Intan, Tangkak.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri menyempurnakan perasmian Pusat KRT dan karnival berkenaan. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; wakil Pejabat Perpaduan Daerah Ledang; Juhelmee Keman dan wakil Majlis Daerah Tangkak (MDT), Muhammad Sidek Arasu Abdullah.

Salleh berkata, kos pembinaan pusat aktiviti bernilai RM25,000 mendapat peruntukan daripada Menteri Besar, Datuk Abd Ghani Othman, Hamim dan Tee Tee.

Adakan pelbagai aktiviti

Katanya, pelbagai aktiviti diadakan membabitkan semua peringkat umur dan kaum pada program Karnival Jom KRT Taman Sri Ledang itu.

Katanya, program julung kali diadakan itu berjaya menarik penduduk menyertai pertandingan memancing; mewarna kanak-kanak; gubahan bunga dan masakan selain pemeriksaan kesihatan serta pameran beberapa agensi.

SUMBER: BH JOHOR, 18 DISEMBER 2012

NURUL AZURA CARI BAPA KANDUNG JADI WALI KHAMIS INI

NURUL Azura Mohd. Sham (kiri) mencari bapa kandungnya, Mohd Sham Md. Esa bagi menjadi wali pernikahannya pada Khamis ini. 
 
LEDANG 17 Dis. - Seorang bakal pengantin dari Kampung Sungai Senduk, Grisek dekat sini mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pada majlis pernikahannya yang dijadual berlangsung 20 Disember ini.

Nurul Azura Mohd. Sham, 28, berkata, bapa kandungnya, Mohd. Sham Md. Esa, 50-an, yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan tidak dapat dikesan sejak berpisah dengan ibunya, Aripah Salleh, 58, sejak 21 tahun lalu.

"Sejak bapa meninggalkan kami sekeluarga, tiada sebarang berita mengenainya. Kami telah berusaha mengesannya dengan bertanya saudara dan keluarga sebelah bapa termasuk di kampung asal di Kuala Pilah namun tidak berhasil.

"Ahli keluarga di Kuala Pilah pun tidak tahu di mana bapa saya berada kerana sudah lama dia menghilangkan diri begitu sahaja tanpa khabar berita. Ini membuatkan kami buntu mencarinya," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Azura yang merupakan anak sulung daripada dua beradik berkata, segala persiapan untuk majlis perkahwinannya di kampung sudah dilakukan termasuk mengedarkan kad jemputan, tetapi urusan mencari bapanya belum berhasil.

Dia berharap bapanya tampil serta menjadi wali pernikahannya dan sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi talian 06-9728651 dan 018-2633442 atau bapa saudaranya, Amir Hamzah Hashim di talian 012-3039252.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 DISEMBER 2012

17 Disember 2012

JKM PERTIMBANG BANTU KELUARGA 'BUDAK TROLI'


Ledang: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menimbang menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga seorang kanak-kanak yang dikesan sering merayau di sebuah pasar raya dekat Tanjung Agas di sini.

Pegawai Kebajikan Ledang, Ab Gani Ab Bakar, berkata selepas menerima maklumat dari BH, pihaknya menghantar kakitangan ke rumah keluarga terbabit untuk memberi nasihat terlebih dulu memandangkan tindakan membiarkan anak tanpa jagaan satu kesalahan.

"Mereka dikesan menghuni sebuah rumah kecil dan memang berlatar belakang susah. Kanak-kanak itu mungkin bertindak bagi mengisi masa lapang ketika cuti sekolah ini.

"Peringkat awal ini, kita beri nasihat serta boleh juga memanggil ibu bapanya untuk sesi kaunseling. Kita juga akan cuba memberikan bantuan lain sewajarnya termasuk menerusi Skim Bantuan Kanak-Kanak, jika keluarga itu mempunyai masalah," katanya ketika dihubungi.

Mengundang simpati

Beliau mengulas pendedahan BH semalam, mengenai kehidupan harian seorang budak berusia tujuh tahun yang berkeliaran sendirian di sebuah pasar raya dekat Tanjung Agas di sini dari pagi hingga malam.

Keletah budak terbabit menarik perhatian orang ramai kerana dilihat sering membantu peniaga dan pengunjung pasar raya itu menolak troli barangan atau mengangkat barang-barang tanpa meminta upah.

Keadaannya dirinya itu mengundang simpati dan keprihatinan orang ramai yang bimbang kejadian tidak diingini termasuk jenayah menimpanya.

Ab Gani berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan jika layak kanak-kanak itu boleh dipertimbangkan untuk bantuan seawal tahun depan.

SUMBER: BH 17 DISEMBER 2012

16 Disember 2012

BUDAK TOLAK TROLI PASAR RAYA RAIH SIMPATI

Oleh Azidan Nahar


Ledang: Seorang budak tujuh tahun membantu menolak troli dan mengangkat barang ke kenderaan pelanggan sebuah pasar raya di Tanjung Agas di sini, bagi membantu keluarga membeli makanan.

Murid Tahun Satu itu umpama penghuni tetap pasar raya itu sejak mula cuti sekolah November lalu, dan akan mengangkat barang pelanggan tanpa meminta upah, namun ia cukup mengundang simpati orang ramai.

Namun, kehadirannya menimbulkan kebimbangan berikutan usianya yang masih terlalu muda, manakala identiti sebenarnya tidak diketahui apabila berada di situ bersendirian sejak awal pagi hingga malam.

Tak pernah minta wang

Malah, dia sudah dikenali di situ kerana keletahnya dan difahamkan tidak pernah meminta wang atas bantuan dihulurkan serta tidak menerima pemberian makanan dan minuman.

Pekerja pasar raya, Ismail Isa, 28, berkata budak terbabit mula berada di situ sejak bulan lalu dan akan menolong tanpa diminta dan tidak pernah menyusahkan pelanggan.

"Sejak pagi lagi dia akan berada di sini, pada kebiasaannya dia akan menolong orang di pasar basah di belakang pasar raya ini sebelum datang ke sini hingga malam dengan berjalan atau menunggang basikal," katanya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Ledang yang dihubungi BH, segera menghantar tiga kakitangannya ke pasar raya itu untuk menyiasat dakwaan terbabit sebelum menemui kanak-kanak berkenaan.

Walaupun sukar meyakinkan kanak-kanak itu untuk menunjukkan rumahnya, akhir selepas dipujuk selama setengah jam, dia akhirnya membawa kakitangan JKM ke rumahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.

BH Ahad yang ikut serta mendapati kanak-kanak malang itu mendiami rumah sewa usang dihuni lapan orang, termasuk empat adik-beradiknya masih kecil, manakala ibunya tidak bekerja dan ayahnya masih mencari pekerjaan tetap.

Tak mampu bayar sewa

Mereka sekeluarga dikatakan terpaksa keluar daripada rumah sewa di Jalan Junid, Muar kerana tidak mampu membayar sewa dan menetap di situ sejak dua bulan lalu bersama nenek berusia 58 tahun dan anaknya.

Nenek terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Muzlifah, mengakui kadangkala mereka sekeluarga hanya makan bubur sekali sehari kerana tidak mampu menyediakan hidangan lain dengan pendapatan tidak seberapa daripada kerja menjual kuih dan bantuan masing-masing RM150 dan RM200 daripada JKM serta Jabatan Agama Islam Johor.

SUMBER: BH AHAD, 16 DISEMBER 2012

14 Disember 2012

BERKAT RM2,700

Oleh Jamaludin Husin


LEDANG: Bermodalkan RM2,700 diperoleh melalui Program 1Azam Niaga, seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) Samari Sahar, 44, dari Felda Sri Ledang, di sini, nekad memulakan perniagaan membaiki basikal sejak Mac lalu.

Dia yang kudung kedua-dua kaki akibat kencing manis menggunakan wang itu bagi membina bengkel mini bersebelahan rumahnya dan kini mampu memperoleh RM600 sebulan.

"Kaki kiri dipotong pada paras lutut manakala tiga jari kaki kanan turut dipotong akibat kencing manis 10 tahun lalu.

"Sejak itu, saya melakukan pelbagai pekerjaan dan gembira kerana permohonan kali ini diluluskan," katanya yang berkahwin dengan Norhayati Isnin, 41, dan mempunyai dua anak masih bersekolah berusia 10 dan 14 tahun.

Samari menerima bantuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selepas diusulkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Sri Ledang dipengerusikan Abd Mutalib Md Diah.

"Saya tidak mahu terlalu mengharapkan bantuan mana-mana pihak sebaliknya mahu berusaha sebaik mungkin untuk menyara keluarga.

"Walaupun pendapatan diperoleh kecil, namun bersyukur kerana dapat membantu menyekolahkan anak dan membeli barangan keperluan harian," katanya.

Sementara itu, Abd Mutalib berkata, walaupun tidak boleh berjalan dengan sempurna, semangat Samari untuk berusaha mencari nafkah tidak pernah luntur.

"Pendapatannya mungkin kecil tetapi dia tetap mampu menyara keluarganya. Selain itu, dia turut menerima bantuan sara hidup di bawah kategori OKU sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak lima tahun lalu," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 14 DISEMBER 2012

12 Disember 2012

GADIS INGIN KAHWIN CARI BAPA JADI WALI

Ledang: Seorang gadis yang akan melangsungkan perkahwinan minggu depan, buntu apabila bapa kandungnya gagal dikesan selepas berpisah dengan ibunya, Aripah Salleh, 58, kira-kira 21 tahun lalu.

Nurul Azura Mohd Sham (gambar), 28, dari Kampung Sungai Senduk, Grisek, berkata bapanya, Mohd Sham Md Esa, 50-an, yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, gagal dikesan.

Dia amat memerlukan kehadiran bapanya untuk menjadi wali pernikahannya.

"Sejak bapa meninggalkan kami sekeluarga, tiada sebarang berita mengenainya, malah kami sudah berusaha mengesan termasuk di kampung asal di Kuala Pilah namun tidak berhasil.

Menghilang diri

"Ahli keluarga di Kuala Pilah sendiri pun tidak tahu di mana bapa berada kerana sudah lama menghilangkan diri tanpa khabar berita," katanya.

Azura anak sulong daripada dua beradik, berkata segala persiapan untuk majlis perkahwinannya di kampung sudah siap termasuk mengedarkan kad jemputan.

Dia berharap sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat bapanya boleh menghubunginya di talian  06-972 8651  dan  018-263 3442  atau bapa saudaranya, Amir Hamzah Hashim di talian  012-303 9252 .

SUMBER: BH 12 NOVEMBER 2012

BAKAL PENGANTIN CARI WALI

Wartawan Sinar Harian
Bakal pengantin cari wali
Nurul Azura di samping ibunya, Aripah menunjukkan borang nikah dan sijil kursus perkahwinannya
 
LEDANG - Usaha menjejak bapa kandung diteruskan, apatah lagi dia bakal mendirikan rumah tangga dan memerlukan wali pada majlis pernikahan yang dijadualkan 20 Disember ini.

Nurul Azura Mohd Sham, 28, dari Kampung Sungai Senduk, Grisek dekat sini berkata, kedua ibu bapanya berpisah sejak 21 tahun lalu.

Bapanya, Mohd Sham Md Esa, 50 an, berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan tidak dapat dikesan kerana terputus hubungan selepas berpisah dengan ibunya Aripah Salleh, 58.

“Sejak bapa meninggalkan kami sekeluarga, tiada sebarang berita mengenainya diterima malah kami telah berusaha mengesan beliau termasuk di kampung asal di Kuala Pilah, namun tidak berhasil.

“Ahli keluarga di Kuala Pilah tidak tahu di mana bapa saya berada kerana sudah lama menghilangkan diri tanpa khabar berita,” katanya.

Azura anak sulung daripada dua beradik berkata, segala persiapan untuk majlis perkahwinannya itu telah siap termasuk mengedarkan kad jemputan.

Dia menaruh harapan dapat mengesan  bapanya secepat mungkin.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai bapanya boleh menghubunginya di talian  06-972 8651  dan  018-263 3442  atau bapa saudaranya, Amir Hamzah Hashim di talian  012-303 9252 .

SUMBER: SINAR HARIAN, 12 DISEMBER 2012

MANGSA WANG PALSU RM100

Wartawan Sinar Harian
Mangsa wang palsu RM100
Rahmah menunjukkan perbezaan wang kertas RM100 palsu (kanan) dengan wang sebenar (kiri).

LEDANG – Lebih tiga peniaga kedai makan di Kampung Batu 20, Sengkang, Bukit Gambir, tidak menyangka menjadi mangsa penipuan wang palsu RM100 oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pelanggan.

Salah seorang mangsa, Rahmah Khamis, 57, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi, Rabu lalu, apabila didatangi seorang wanita yang tidak dikenali ingin membeli tiga bungkus nasi lemak dan lontong di kedai makannya.

Menurutnya, kesemua makanan itu berharga RM11, tetapi wanita terbabit menyerahkan wang kertas RM101.

“Sebaik sahaja memulangkan wang baki berjumlah RM90 kepadanya, saya terus menyimpan wang kertas RM100 itu dalam laci.

“Wang kertas RM100 ini kelihatan sangat baru menyebabkan saya tidak mengesyaki ia wang kertas palsu, tambahan pula ciri-ciri pada wang palsu berkenaan hampir sama dengan wang kertas sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.

Rahmah berkata, dia kemudiannya memaklumkan kepada anaknya mengenai wang tersebut, sebaliknya anaknya mengatakan kemungkinan wang itu palsu kerana sebelum ini berlaku banyak kes penipuan membabitkan wang kertas RM100.

“Kebetulan ketika itu ada pelanggan yang mempunyai wang kertas RM100 sebenar dan setelah meneliti wang tersebut mendapati ia palsu.

“Selain saiz wang yang kecil sedikit, gambar Yang di-Pertuan Agong tidak kelihatan jika dihalakan ke arah cahaya dan jalur keselamatan pula tidak memantulkan cahaya apabila di bawah cahaya lampu atau matahari,” katanya.

Tambahnya, dia hanya lihat wanita terbabit memakai tudung, bercermin mata dan menaiki kereta jenis proton yang di dalamnya terdapat  dua kanak-kanak dan seorang wanita warga emas.

“Sehari kemudian, rakan saya yang berniaga kedai makan turut menjadi mangsa wanita berkenaan,” katanya.
Katanya lagi, dia bimbang lebih ramai yang akan menjadi mangsa penipuan wang kertas itu yang kemungkinan didalangi pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

“Saya mendedahkan perkara ini kerana mahu orang ramai terutamanya peniaga supaya lebih berwaspada apabila menerima wang kertas RM100 daripada pelanggan agar tidak ditipu pihak yang sengaja mencari keuntungan dengan cara mudah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Harun Idris berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut minggu lalu.

“Setakat ini, identiti suspek belum dapat dikenal pasti, dan  gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 12 DISEMBER 2012

11 Disember 2012

RUMAH TERBAKAR KETIKA SAKSI PERLAWANAN BOLA SEPAK

Rumah terbakar ketika saksi perlawanan bola sepak
Keadaan rumah yang terbakar.
 
LEDANG - Keseronokan  seorang lelaki menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir Piala AFF Suzuki  antara Malaysia dengan Thailand bertukar sedih apabila rumahnya di Kampung Serom 3, Jalan Panggung, Sungai Mati, dekat sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu disedari Mohamad Yusof Md Said, 62, apabila dia terdengar bunyi seperti cawan pecah dari dapur rumah.

Menurutnya, dia yang  sedang menonton televisyen di ruang tamu segera ke dapur untuk mengenal pasti bunyi yang didengarinya selepas berasa  tidak sedap hati.

“Apabila tiba di tengah  rumah, tiba-tiba lampu terpadam dan saya nampak api sedang marak dari arah bilik belakang berdekatan dapur.

“Saya terkejut dan dengan pantas berlari ke bilik hadapan untuk mengejutkan isteri dan ibu yang sedang tidur,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohamad Yusof berkata, ketika kejadian, dia bersama ibu, isteri, anak saudara dan kakaknya di rumah,  manakala anak-anaknya berada di Kedah.

Katanya, selepas ahli keluarganya berjaya diselamatkan dengan dibawa keluar dari rumah, dia kembali masuk semula kediamannya untuk menyelamatkan barangan berharga.

Tetapi usaha dilakukan menemui kegagalan berikutan situasi kejadian yang merbahaya dan bimbang ditimpa bumbung.

Pesara kerajaan itu kerugian kira-kira RM100,000 berikutan rumah yang didiaminya sejak 10 tahun lalu, hangus  terbakar.

“Walaupun sedih dengan insiden ini, namun saya bersyukur kerana semua ahli  keluarga terselamat.
“Buat sementara waktu, kami sekeluarga menumpang tinggal di rumah adik yang terletak di kampung ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Yusof Muniron berkata, pihaknya menerima panggilan  kecemasan jam 9.46  malam dan mengerahkan tujuh  anggota bersama satu jentera ke tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan  lapan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Muar.

“Apabila  tiba di tempat  kejadian, rumah berkenaan sudah terbakar 70 peratus dan kami mengambil masa selama 15 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran,” katanya.

Jelasnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih  dalam siasatan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 11 DISEMBER 2012

07 Disember 2012

TRADISI BERADAT, PROGRAM ERAT SILATURAHIM


DIARAK...kanak-kanak berarak dari Masjid Jamek Sengkang ke dewan sekolah.

 SOKONGAN...Asojan (dua dari kiri) mengiringi murid-murid yang menyertai program berkhatan.


Oleh Hai Rozzaman Jalal
am@hmetro.com.my

PIBG anjur program khatan beramai-ramai

LEDANG: Setiap kali musim cuti sekolah, sudah pasti kawasan kampung atau perumahan digamit dengan paluan kompang dan semburan air bomba bagi meraikan kumpulan kanak-kanak untuk berkhatan secara beramai-ramai.

Tradisi rumpun Melayu itu perlu diteruskan bukan saja kerana ia menjimatkan perbelanjaan ibu bapa, malah lebih menceriakan majlis yang diadakan dan pada masa sama, mengeratkan silaturahim antara penduduk.

Baru-baru ini, seramai 16 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sengkang Bukit Gambir di sini, berusia antara 9 hingga 12 tahun mengambil bahagian dalam majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

Aktiviti bagi mengembalikan semula budaya dan adat Melayu tidak bercanggah dengan syariat Islam

Yang Dipertua PIBG, Sharif Mohamed berkata, program itu dapat mengeratkan hubungan masyarakat setempat terutama guru dan ibu bapa membabitkan penyertaan anak dan aktiviti gotong-royong dianjurkan.

“Kami mahu mengembalikan semula budaya dan adat Melayu yang tidak bercanggah dengan syariat Islam melalui majlis berkhatan beramai- ramai.

“Penyertaan ibu bapa dalam program ini dapat menjimatkan kos membuat kenduri doa selamat di mana mereka mengadakannya secara berkelompok di sekolah,” katanya pada majlis itu di Dewan Sri Bestari, sekolah itu, baru-baru ini.

Perasmian majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan, dan turut dihadiri Guru Besar sekolah itu, Basir Konit; Guru Penolong Kanan (GPK) 1, Jailani Ahamad; GPK Hal Ehwal Murid, Noraini Md Dom dan ibu bapa peserta.

Sharif berkata, semua murid dikhatankan oleh Dr Mohd Jalil Sharif dari Pusat Perubatan Keluarga dan lebih menarik, Mohd Jalil adalah bekas murid sekolah berkenaan.

“Kejayaan Mohd Jalil membuka tiga klinik di Bukit Gambir, Labis dan Jementah dekat sini, diharapkan menjadi contoh kepada murid sekolah ini supaya berjaya dalam apa jua bidang diceburi kelak,” katanya.

Sebelum dikhatankan, semua peserta dimandikan dalam upacara bersiram hasil kerjasama anggota Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir.

Sementara itu, Asojan berkata, program berkhatan beramai-ramai itu dapat mengembalikan nostalgia lama masyarakat Melayu yang sering berkhatan di rumah secara berkelompok.

Katanya, kerjasama semua pihak menjayakan program itu amat penting kerana ia dapat merapatkan silaturahim masyarakat setempat. 

Menurutnya, kerajaan sentiasa memberikan tumpuan kepada pembangunan pendidikan di semua peringkat bagi melahirkan modal insan berjaya dalam pelbagai bidang.

SUMBER: HARIAN METRO (METROPLUS), 07 DISEMBER 2012

03 Disember 2012

JPV GIAT ATASI SERANGAN LALAT

 Penduduk menunjukkan lalat yang terperangkap di rumahnya di Taman Pulai Utama, dekat Serom. [FOTO HAI ROZZAMAN JALAL/BH]

"Usaha membasmi lalat giat dilaksanakan menggunakan kaedah semburan bahan kimia di bawah reban, pagar dan pokok berhampiran kawasan ternakan bagi memusnahkan lalat dan larva” 
Pauzan Kasni, Pegawai JPV Ledang

Ledang: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) daerah menerima aduan penduduk Taman Pulai Utama, dekat Serom, berhubung serangan lalat berpunca daripada reban ayam berhampiran kediaman mereka.

Bersih najis haiwan

Pegawainya, Pauzan Kasni, berkata dalam tinjauan ke kawasan premis ternakan itu, pihaknya mendapati semua ayam yang diternak sudah dijual, manakala kerja membuang najis sedang dijalankan.

Katanya, usaha membasmi lalat juga sedang giat dilaksanakan dengan menggunakan kaedah semburan bahan kimia ke seluruh kawasan premis berkenaan.

“Semburan bahan kimia turut dilakukan di bawah reban, pagar dan pokok berhampiran kawasan ternakan bagi memusnahkan lalat dan larva.

“Kaedah umpan digunakan dengan meletak pelekat berbau buah-buahan sebagai tarikan untuk memerangkap lalat di kawasan ternakan dan kediaman penduduk berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan BH mengenai keresahan 50 keluarga penduduk Taman Pulai Utama, yang terpaksa mengharungi kehidupan dalam suasana tidak selesa berikutan gangguan lalat.

Pauzan berkata, masalah lalat berlaku sepanjang tempoh pembesaran ternakan sehingga ia dijual sebelum kerja pembersihan dijalankan.

Katanya, buat masa ini, JPV negeri giat menjalankan pelbagai kempen dan usaha bagi memastikan ladang unggas di negeri ini bebas lalat menjelang Disember 2013.

Beliau berkata, sebagai permulaan, Kempen Eliminasi Lalat Di Sumber (Ladang Unggas) dijalankan di Hentian Rehat dan Rawat Machap mulai 19 November lalu sebelum diteruskan ke kawasan lain yang dikenal pasti.

SUMBER: BH JOHOR, 03 DISEMBER 2012

02 Disember 2012

MUAR KINI BANDAR DIRAJA

Wartawan Sinar Harian

Bandar Muar bunga api
Bandar Muar disinari cahaya bunga api sempena penutupan Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Sultan Johor
Sultan Ibrahim - Muar Bandar Diraja
Sultan Ibrahim diiringi Raja Zarith Sofiah berkenan memotong kek ulang tahun keputeraannya pada Jamuan Teh Bersama Rakyat di Stadium Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim - Muar Bandar Diraja
Baginda tuanku merasmikan Masjid Al-Ikhsan Air Hitam.
Sultan Ibrahim - Muar Bandar Diraja
Sultan Ibrahim menanam kota watikah perisytiharan di Tugu Masa sebagai simbolik perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja.
 
BANDAR MAHARANI yang satu ketika dahulu sinonim dengan Muar, kini dikenali Bandar Diraja selepas pengisytiharan rasmi oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 25 November lalu, bersempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan baginda.

Pengisytiharan berkenaan sekaligus mengubah gelaran Bandar Maharani yang diberikan Maharaja Abu Bakar sejak 1884 dan detik bersejarah itu ternyata memberikan kebanggaan kepada lebih 300,000 rakyat di daerah ini.

Mercu tanda serlah identiti

Identiti Bandar Diraja itu diserlahkan lagi dengan pembinaan mercu tanda di Bulatan Sulaiman, di sini, dengan kos lebih RM1 juta dan mula dibina kira-kira dua bulan lalu.

Monumen berkenaan yang terletak di tengah bandar Muar ternyata mempunyai identiti tersendiri iaitu dengan empat gading gajah gergasi di setiap sudut dan mahkota di bahagian atasnya.

Binaan yang begitu signifikan itu mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri termasuklah laluan pejalan kaki, air pancur, landskap bandar Muar dan lampu neon sekaligus mengindahkan serta mencantikkan lagi daerah ini pada waktu malam.

Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja selama lima hari lima malam bermula 21 November lalu, dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik sekaligus melakar sejarah kerana julung kali diadakan di luar Johor Bahru.

Turut berkenan berangkat, Tuanku Raja Zarith Sofiah; bonda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah; puteri dan putera baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Aminah; Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan

Dimulakan dengan tahlil dan doa kesyukuran di Masjid Sultan Ibrahim pada 21 November lalu, sebagai pembuka tirai sambutan diikuti program pada hari kedua diserikan lagi dengan acara utama iaitu majlis doa kesyukuran; Majlis Teriman, Majlis Mengadap serta Majlis Darjah dan Pingat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.

Lebih meriah, istiadat diraja itu ditayangkan kepada umum menerusi empat layar skrin gergasi yang dipasang di beberapa lokasi terpilih dan seramai 404 individu tersenarai menerima pingat di mana puteri Sultan Johor, Tunku Aminah mendahului senarai penerima.

Pada sebelah petang pula, berlangsungnya jamuan teh bersama rakyat di Stadium Sultan Ibrahim.

Dianggarkan lebih 25,000 penduduk daerah ini hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan seterusnya bertemu serta beramah mesra secara dekat bersama Sultan Johor sebelum forum perdana di Masjid Sultan Ibrahim menyusul pada sebelah malam.

Sultan rasmi masjid baru

Menjelang hari ketiga, baginda tuanku berkenan untuk merasmikan Masjid Al-Ikhsan Batu 18, Air Hitam, dekat sini, yang bernilai RM2.2 juta seterusnya menunaikan solat Jumaat bersama rakyat.

Acara pada sebelah malam menjadi penuh bermakna apabila baginda Tuanku berangkat tiba ke upacara perarakan kereta berhias sebanyak  25 buah diikuti lebih 120 motosikal berkuasa tinggi di Jalan Arab sejauh empat kilometer.

Hari keempat catat sejarah

Sementara hari keempat pula, mencatatkan sejarah tersendiri buat daerah Muar apabila secara rasminya Bandar Maharani diisytiharkan sebagai Bandar Diraja dalam upacara penuh istiadat diraja berlangsung di Dataran Tanjung Emas, di sini.

Majlis berkenaan disempurnakan dengan baginda tuanku menandatangani plak Bandar Maharani Bandar Diraja dan menanam kota watikah pengisytiharan di Tugu Masa sebagai simbolik majlis.

Hari kelima melabuhkan tirai Sambutan selama lima hari lima malam itu akhirnya melabuhkan tirai pada 25 November lalu dengan acara perarakan bot berhias dan pertunjukan bunga api di Jambatan Sultan Ismail.

Difahamkan, buat julung kalinya dalam sejarah di daerah ini, jambatan itu ditutup kepada semua kenderaan selama 12 jam bagi membolehkan rakyat menyaksikan acara bersejarah ini di situ.

Acara gilang gemilang itu berjaya menarik kedatangan hampir 100,000 pengunjung dari dalam dan luar daerah juga rakyat negeri berhampiran. Bermula dengan gelaran baru sebagai Bandar Diraja, Sultan Ibrahim meminta supaya bandar Muar mempunyai identitinya sendiri bersesuaian dengan gelaran itu.

Malah, baginda Tuanku mahu bandar itu terus kekal dalam suasana aman damai, indah, sejahtera, bersih dan bebas daripada sebarang sisa buangan serta pencemaran alam sekitar selain bangunan lamanya dikekalkan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 2 DISEMBER 2012

01 Disember 2012

PENDUDUK TERTEKAN DIHURUNG LALAT

Wartawan Sinar Harian

Lalat hurungi
Lian Hua menyapu lalat yang berteraburan di lantai rumahnya.
 
LEDANG - Hampir 300 penduduk di Taman Pulai Utama dekat Serom di sini, tertekan apabila dibelenggu masalah lalat yang serius sejak tiga minggu lalu.

Penduduk, Tio Lian Hua, 51, berkata, kehadiran lalat yang terlalu banyak menyebabkan kehidupan mereka menjadi tidak tenteram kerana bimbang ia akan menjejaskan kesihatan.

Menurutnya, urusan harian juga terganggu kerana mereka lebih berhati- hati terutama semasa menyediakan makanan bagi mengelakkan makanan dikerumuni lalat.

“Kami juga terpaksa tutup pintu dan tingkap rumah sepanjang masa bagi mengelakkan lalat memasuki rumah selain mengurangkan pencemaran bau busuk,” katanya.

Suri rumah, Zuriyana Kamiso, 28, berkata, dia berasa hairan apabila gangguan lalat kali ini lebih lama berbanding kebiasaannya iaitu satu hingga dua minggu sebelum ini.

“Kehadiran lalat semakin banyak terutamanya selepas waktu hujan, sehinggakan lantai dalam rumah dipenuhi lalat.

“Saya ada cuba menggunakan pelbagai alatan termasuk semburan dan kertas pelekat untuk mengusir lalat tetapi tidak berjaya, malahan lalat semakin bertambah,” katanya.

Zuriyana berkata, kadang-kadang dia malu dengan keluarganya yang datang ke rumah apabila melihat mereka seperti tidak selesa kerana makanan dihidangkan dihurungi lalat.

Sementara itu, Pegawai Veterinar Ledang, Pauzan Kasni ketika dihubungi berkata, pihaknya mengakui menerima aduan berhubung masalah tersebut sejak seminggu lalu.

Menurutnya, usaha untuk membasmi lalat sedang giat dilakukan dengan menggunakan kaedah semburan bahan kimia di bawah reban, pagar dan pokok berhampiran kawasan ternakan untuk membunuh lalat serta larva.

“Kaedah umpan juga digunakan dengan meletakkan pelekat yang mengandungi bau seperti buah-buahan sebagai tarikan untuk memerangkap lalat di kawasan ternakan dan rumah penduduk berhampiran.

“Memang akan berlaku masalah banyak lalat terutamanya ketika dalam tempoh pembesaran sehingga ayam tersebut dijual,” katanya.

Beliau berkata, tinjauan pihaknya ke kawasan ternakan tersebut, semalam, mendapati kesemua ayam ternakan sudah dijual dan selepas ini kerja-kerja membuang najis ternakan akan dilakukan.

“Kita jangka masalah ini akan selesai tidak lama lagi sebaik saja kawasan ternakan memulakan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 01 DISEMBER 2012

30 November 2012

JOHOR RULER HOPES TO MAKE PROGRAMME AN ANNUAL DO AFTER A HUGE TURNOUT

By HAMDAN RAJA ABDULLAH
metrose@thestar.com.my

MUAR: Johor ruler Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hopes to make the grand Santai di Jambatan Sultan Ismail programme an annual event following the success of the first event held on Sunday night.

The event, where the bridge spanning Sungai Muar between Bandar Maharani and Tanjung Agas was turned into a park-like venue, attracted more than 40,000 people.

It was part of a five-day five-night celebration organised in conjunction with the ruler’s 54th birthday who also declared Bandar Maharani as Bandar DiRaja (Royal town).

The bridge and all roads leading to it, which were closed between 3pm on Sunday and 5am on Monday, were filled with people who wanted to watch boat processions and huge fireworks that night.

Residents from all walks of life started to fill the bridge, the Laman Maharani recreational spot along Jalan Maharani and along river bank on both sides as early as 7pm.

By 8pm the roads leading to the town from Jalan Salleh, Jalan Bakri and Jalan Temenggong Ahmad were congested as people were looking for spots to park their cars.

The Muar municipal council had also turned parts of the stretch on the bridge into a night market area with 140 stalls selling drinks, food and even toys for the children.

Council president Zulkiflee Abbas said the Santai bersama Tuanku programme on the bridge was a very special event to allow the Ruler to meet his subjects without observing protocol.

Sultan Ibrahim, who was accompanied by Mentri Besar Datuk Abdul Ghani Othman and Johor Police Chief Deputy Comm Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff arrived at the bridge at about 8.40pm.

The ruler decided to walk to the middle of the more than one kilometre bridge to watch floats of beautifully decorated vessels passing under the bridge.

He joined the thousands of residents watching the floats standing up while talking with villagers who were near him and shaking hands with them.

He was very happy to see the huge crowd of people from all races filling not only the bridge but along both riverbanks and roads along both sides of the river.

“I think we should close the bridge once a year and organise this event annually,” he said.

The Ruler then asked the crowd around him whether they like to see similar event and the bridge closed once a year and the crowd shouted ‘Yes, Tuanku!’

The Ruler repeated the question twice and was happy that the people of Muar wanted the event to be made an annual event.

After spending about 30 minutes on the bridge Sultan Ibrahim and other leaders, including UDA Holdings Berhad chairman Datuk Nur Jazlan Mohamed left the bridge.

However, the crowd continued to remain on the bridge and in several parts of the town and at Tanjung Agas waiting for the big firework show.

And all were thrilled, including old folks and children, when at 10.30pm, fireworks started to brighten the night sky over the river fired from a vessel berthed near the estuary.

Many regarded the special ‘santai di jambatan’ programme very memorable as the people can walk, eat, drink and even meet up with the Ruler on the Sultan Ismail Bridge which is always busy with traffics.

SOURCE: THE STAR, NOVEMBER 30, 2012

BAPA WARTAWAN HARIAN METRO MENINGGAL DUNIA


LEDANG: Bapa wartawan Harian Metro, Zaiti Satibi, Satibi Abd Jalil, 68, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kelmarin, berikutan organ gagal berfungsi akibat jangkitan kuman.

Menantunya, Zuhri Iskandar Kamarzaman, 41, berkata Satibi dimasukkan ke ICU kerana jangkitan kuman selepas mentuanya kemalangan jalan raya Isnin lalu, dalam perjalanan ke masjid.

"Ketika itu arwah menunggang motosikal dan dalam perjalanan ke masjid berhampiran apabila dilanggar motosikal lain menyebabkannya hilang kawalan lalu terjatuh.

"Arwah dibawa ke hospital untuk rawatan, namun dibenarkan pulang kerana cedera ringan," katanya.

Menurutnya, sehari selepas itu, arwah mengadu sakit perut dan sukar membuang air kecil.

"Berikutan itu, beliau dikejarkan ke hospital dan dirujuk ke ICU kerana disyaki jangkitan kuman yang memerlukan pembedahan segera, Selasa lalu.

"Kami difahamkan saluran ususnya bocor dan kuman memasuki organ penting.

"Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam selepas pembedahan, mentua meninggal dunia kerana kencing manis dan darah tinggi," katanya ketika ditemui rumah arwah di Kampung Simpang Lima, Bukit Gambir di sini.

Satibi menghembuskan nafas terakhir jam 10 malam kelmarin (Rabu) di sisi isteri, Hamidah Othman, 57 dan empat anak termasuk wartawan Harian Metro, Zaiti Satibi.

Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kundur, Bukit Gambir, jam 11.30 pagi semalam.

SUMBER: HARIAN METRO, 30 NOVEMBER 2012

29 November 2012

LALAT GANGGU PENDUDUK

Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhjb@bharian.com.my

Ledang: Lebih 50 keluarga penduduk Taman Pulai Utama, Serom di sini, terpaksa mengharungi kehidupan harian dalam suasana tidak selesa berikutan gangguan lalat setiap hari.

Keadaan itu merisaukan mereka terutama ketika menghidangkan makanan kepada ahli keluarga apabila lalat menghurung makanan jika tidak ditutup segera.

Punca daripada reban ayam 

Mereka mendakwa keadaan itu berpunca daripada reban ayam yang diusahakan pengusaha berhampiran taman itu dan keadaan berlarutan sejak tiga minggu lalu.

Tinjauan BH mendapati kedudukan reban ayam hanya 500 meter dari kediaman penduduk dan lalat sentiasa berterbangan menghurung kawasan rumah t e r u t a m a mereka yang tinggal sekitar Jalan Pulai 6.

Penduduk, Tio Lian Hua, 51, berkata masalah lalat yang banyak  m e n j e j a s k a n aktiviti harian penduduk terutama ketika menyediakan makanan untuk keluarga.

“Penduduk terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang masa bagi mengelakkan lalat memasuki rumah selain pencemaran bau busuk.

“Penyelenggaraan dan pengawalan yang tidak dilaksanakan secara berkala menyebabkan lalat membiak dengan banyak dan kami menjadi mangsanya,” katanya ketika ditemui.

Lian Hua berkata, keluarganya terpaksa menumpang rumah anaknya di pekan Bukit Gambir sejak seminggu lalu akibat tidak tahan kehadiran lalat yang semakin banyak setiap hari.

Keadaan lebih buruk ketika hujan

Suri rumah, Zuriyana Kamiso, 28, berkata keadaan lebih buruk berlaku ketika musim hujan apabila lalat membiak dengan banyak.

Beliau berkata, kebiasaannya gangguan lalat hanya berlaku satu atau dua minggu saja tetapi kini sudah berlarutan hingga tiga minggu dan semakin mengganggu keselesaan penduduk.

“Kami tidak tahan lagi dengan masalah gangguan lalat ini yang semakin banyak dan khuatir kesihatan anak turut terjejas.

“Apabila ada majlis keramaian seperti kenduri atau perayaan, tetamu yang hadir juga tidak selesa apabila makanan yang disediakan dihurung lalat, “ katanya yang tinggal di taman itu sejak dua tahun
lalu.

Jirannya, Teo Keng Ching, 35, mahu pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera mengatasi masalah yang membelenggu penduduk taman berkenaan.

Katanya, pada awal Januari lalu, penduduk pernah membuat aduan kepada pihak berkaitan mengenai masalah sama dan pengusaha mematuhinya susulan tindakan pihak berkuasa, namun kini masalah itu berulang semula.

“Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat memastikan pengusaha ternakan mematuhi syarat dengan menyelenggara dan membasmi lalat dan bau busuk secara berkala demi keselesaan dan kesihatan penduduk di sini," katanya.

SUMBER: BH JOHOR, 29 NOVEMBER 2012

LALAT GANGGU KESIHATAN, KETENTERAMAN PENDUDUK


TIO Lian Hua membersihkan lantai rumahnya setelah diserang ribuan lalat sehingga mengganggu ketenteraman dan keselesaan keluarganya di Taman Pulai Utama, Serom, di Ledang, Johor, semalam. 
Ledang 28 Nov. - Lebih 200 penduduk dari 57 buah keluarga di Taman Pulai Utama, Serom, dekat sini, berdepan masalah lalat yang terlampau banyak sejak akhir-akhir ini sehingga menganggu keselesaan hidup dan dibimbangi menjejaskan kesihatan mereka.

Menurut mereka, lalat akan datang dalam jumlah yang banyak terutama semasa menghidangkan makanan dan puncanya didakwa dari reban ayam yang diusahakan berhampiran taman itu dengan keadaan bertambah teruk sejak tiga minggu lalu.

Tinjauan di kawasan tersebut mendapati kedudukan reban ayam berkenaan hanya 500 meter dari kediaman penduduk dan lalat sentiasa berterbangan serta menghurungi kawasan rumah terutama mereka yang tinggal di Jalan Pulai 6.

Seorang penduduk, Tio Lian Hua, 51, berkata, masalah itu menjejaskan aktiviti harian penduduk terutama ketika menyediakan makanan dan terpaksa menutup pintu dan tingkap sepanjang masa bagi mengelakkan lalat memasuki rumah, selain pencemaran bau busuk.

"Punca lalat terlalu banyak kerana penyelenggaraan dan pengawalan yang tidak dilaksanakan secara berkala menyebabkan lalat membiak dengan banyak. Kami yang tinggal berdekatan pula yang menjadi mangsa.

"Disebabkan masalah ini, keluarga kami terpaksa tinggal di rumah anak saya di pekan Bukit Gambir sejak seminggu lalu akibat tidak tahan dengan kehadiran lalat yang semakin banyak setiap hari," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Suri rumah, Zuriyana Kamiso, 28, pula berkata, keadaan lebih teruk apabila musim hujan.
"Lalat membiak dengan banyak dan sebelum ini gangguan tersebut hanya berlaku satu atau dua minggu saja tetapi kini berlarutan hingga tiga minggu,'' katanya.

Dia turut tidak tahan lagi dengan masalah tersebut yang seolah-olah tidak terkawal dan khuatir kesihatan anak-anaknya turut terjejas jika masalah itu terus dibiarkan.

"Apabila ada majlis keramaian seperti kenduri atau perayaan, tetamu yang hadir juga tidak selesa apabila makanan yang disediakan dihurungi lalat," katanya yang tinggal di taman berkenaan sejak dua tahun lalu.

Jirannya, Teo Keng Ching, 35, mahu pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera mengatasi masalah yang membelenggu penduduk taman berkenaan kerana kini semakin kritikal kerana situasi serupa pernah berlaku pada awal Januari lalu, namun tindakan penguat kuasa berjaya memastikan pengusaha reban tersebut mematuhi peraturan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 NOVEMBER 2012

28 November 2012

BENDERA DIRAJA JOHOR DITURUNKAN


UPACARA menurunkan Bendera Diraja Johor dilakukan setelah berakhirnya sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas, Muar, semalam. 
MUAR 27 Nov. - Bendera Diraja Johor diturunkan secara rasmi hari ini sempena berakhirnya sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja selama lima hari lima malam di bandar ini yang berakhir semalam.

Upacara penurunan bendera disempurnakan oleh Pegawai Daerah, Abdul Rahman Mohamed Dewam di Dataran Tanjung Emas pada pukul 10.35 pagi ini dan sejurus itu bacaan doa disempurnakan Kadi Daerah, Dzulkafle Mohamed.

Yang turut hadir Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Zulkiflee Abbas.

Bendera itu yang dinaikkan Isnin lalu adalah simbolik bermulanya kerja-kerja sempena sambutan berkenaan dan merupakan upacara dan adat istiadat Kesultanan Johor dihidupkan semula selepas 90 tahun tidak dilakukan.

Sementara itu, Abdul Rahman melahirkan kesyukuran kerana sambutan berlangsung dengan lancar dan lebih menggembirakan apabila mendapat pujian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang amat berkenan dengan semua acara.

"Tuanku sangat suka dengan acara yang berlangsung terutama di atas Jambatan Sultan Ismail iaitu persembahan bot berhias dan pertunjukan bunga api. Baginda mengatakan sambutan hari keputeraannya kali ini paling menarik dan meriah pernah diadakan dalam hidupnya.

"Pujian tuanku tentang sambutan tersebut menandakan kejayaan banyak pihak terutamanya jawatankuasa yang bertungkus lumus bekerja membuat persiapan sambutan lebih sebulan lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan setinggi terima kasih kepada pihak media cetak dan elektronik yang memberikan kerjasama dan liputan meluas sepanjang program tersebut yang julung kalinya diadakan di daerah ini.

Tentang cadangan Sultan Ibrahim untuk menjadikan program di atas jambatan sebagai acara tahunan daerah ini, Abdul Rahman berkata, Pejabat Daerah sangat mengalu-alukan dan berbesar hati menerimanya.

"Ini satu penghormatan kepada daerah ini khususnya kepada rakyat selepas diisytiharkan sebagai Bandar Diraja secara rasminya oleh tuanku pada Sabtu lalu," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Nasir mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang berlangsungnya sambutan tersebut.

"Daripada segi laluan tidak dinafikan berlakunya kesesakan. Kita tidak dapat menjamin kelicinan laluan 100 peratus kerana terlalu banyak kenderaan pada masa itu tetapi kerjasama mereka memudahkan semua urusan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 NOVEMBER 2012

26 November 2012

SULTAN JOHOR MELAWAT PAMERAN KERETA MEWAH


SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menyaksikan himpunan kereta mewah 'supercars' sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, semalam.

MUAR 25 Nov. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyaksikan himpunan kereta mewah 'supercars' di Dataran Tanjung Emas di sini sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang masuk hari keempat hari ini.

Baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk melihat dengan lebih dekat 130 kereta mewah tersebut yang didatangkan khusus dari seluruh negara sempena sambutan julung kali diadakan itu.

Kira-kira 50 kereta Ferrari pelbagai model, 30 Porsche dan selebihnya Lamborghini, Bentley dan Lotus dipamerkan di tempat letak kereta bersebelahan Menara Jam Tanjung Emas itu.

Turut mengiringi baginda adalah puteranya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan keberangkatan kerabat diraja Johor itu dinantikan pengunjung sejak pukul 11 pagi lagi bagi melihat sendiri kenderaan yang berharga jutaan ringgit itu.

Sementara itu, pelbagai acara dan program diteruskan sempena sambutan itu antaranya pertandingan bola sepak dan bola jaring di Stadium Sultan Ibrahim, pertandingan futsal dan pertandingan memasak di Dataran Tanjung Emas.

Kejohanan Jet Ski Antarabangsa 2012 pula di Sungai Muar yang bermula kelmarin diteruskan hari ini dengan melibatkan 50 peserta dengan 15 daripadanya peserta luar negara.

Pengarahnya, Datuk Saffian Omar berkata, peserta luar negara adalah dari Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand serta Jepun dan kejohanan yang melibatkan lima kategori itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM60,000 termasuk trofi.

"Menariknya kejohanan yang julung kalinya diadakan di negeri ini melibatkan enam peserta wanita iaitu empat Indonesia dan seorang masing-masing dari Jepun dan Thailand," katanya.

Pada sebelah petangnya pula, kira-kira 600 peserta dilepaskan untuk acara Larian Hari Keputeraan 2012 di Dataran Tanjung Emas yang menawarkan lima kategori membabitkan Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki, Pelajar Lelaki serta Pelajar Wanita.

Penyelaras Sukan Daerah Muar, Hedzir A. Shukor berkata, larian dianjurkan Majlis Sukan Negeri yang melibatkan peserta dari 10 daerah di negeri ini amat berbeza kerana pertama kalinya diadakan di bandar ini kerana sebelumnya hanya diadakan di Johor Bahru.

Beliau berkata, acara Terbuka Lelaki sejauh 10 kilometer menawarkan hadiah tempat pertama RM500, kedua (RM450), ketiga (RM400), keempat (RM350) dan seterusnya masing-masing RM300, RM250 dan RM200 untuk tempat kelima hingga ketujuh, semua peserta diberi sijil.

Bagi Terbuka Wanita, hadiah yang sama ditawarkan sementara acara Veteran Lelaki 7km menawarkan hadiah utama RM400 manakala acara Pelajar Lelaki dan Pelajar Wanita menawarkan wang tunai RM300 untuk setiap pemenang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2012