PENGUNJUNG SETIA

23 November 2010

BERI KERJASAMA PENUH

LEDANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang menggesa masyarakat supaya memberi kerjasama padu kepada polis untuk membanteras jenayah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, menerusi Program Community Policing yang dianjurkan, ia menjadi platform kepada polis untuk mendekati masyarakat bagi mewujudkan jaringan hubungan yang erat mereka.

Menurutnya, ini kerana pada program berkenaan pegawai polis daripada IPD Ledang turun padang beramah mesra dengan masyarakat setempat.

“Jaringan yang erat ini sangat penting terutamanya berhubung penyaluran maklumat penting yang berkaitan jenayah dalam kampung.

“Maklumat yang tepat dan pantas ini membolehkan polis mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Masjid Jamek Kampung Parit Kassan Bukit Gambir, di sini.

Beliau berkata, menerusi program ini juga membolehkan polis menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan dan undang-undang.

“Pada masa sama berpeluang menasihati masyarakat kampung berkaitan undang-undang di jalan raya.

“Masyarakat turut mempunyai peranan sama mencegah jenayah, jika mereka mempunyai maklumat, segera melaporkannya di balai polis berhampiran,” katanya.

Harun berkata, menjadi tanggungjawab polis turun padang bertemu masyarakat bertanya masalah dihadapi bagi menangani jenayah bersama.

Beliau juga meminta ibu bapa supaya menasihati anak agar tidak terjebak pergaulan bebas yang boleh menimbulkan masalah sosial seperti rogol dan buang bayi.

“Anak bakal pemimpin negara, mereka perlu bijak memilih rakan supaya tidak terpengaruh perkara negatif.

“Ibu bapa diingatkan agar tidak memberi kemudahan menunggang motosikal kepada anak mereka kecuali jika mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini terlalu ramai anak menaiki motosikal tanpa lesen memandu, malah ada antara mereka terlibat kemalangan.

“Tanggungjawab membasmi jenayah perlu di- laksanakan bersama kerana ia tidak boleh dielak tetapi boleh dikawal,” katanya.

Justeru, program itu akan diteruskan bagi men- jalin hubungan mesra polis dengan masyarakat di samping memberi pemahaman tugas dan tanggung- jawab polis kepada awam.

Turut hadir, Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar; Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak; Ketua Polis Balai Bukit Gambir, SM Shamsuddin Saad; Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar dan Ketua UMNO Cawangan Parit Kassan, Muslim Jasmin.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 23 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: