PENGUNJUNG SETIA

15 November 2010

LARIAN KESIHATAN


Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali

LEDANG: Seramai 257 peserta menyertai Program Larian Kesihatan 1Malaysia anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tun Syed Nasir di sini, dengan Maybank Cawangan Jalan Sulaiman, Muar, kelmarin.

Program jam 7.30 pagi itu dimulakan dengan senaman aerobik bagi sesi memanaskan badan sebelum larian bermula di Sekolah Menengah Persisir Perdana, Tanjung Agas.

Empat kategori larian dipertandingkan iaitu kanak-kanak, remaja, dewasa serta veteran dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta pelbagai peringkat umur.

Penyelaras aktiviti Maybank, Muhafif Md Bahari berkata, pembabitan pihaknya dalam larian itu sebahagian daripada tanggung jawab sosial badan korporat itu terhadap masyarakat setempat.

"Pembabitan Maybank dalam acara ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara kami dengan penduduk di sini.

"Ia juga bersesuaian dengan tema syarikat ini yang menyambut ulang tahun ke-50 pada tahun ini," katanya.

Seramai 30 kakitangan Maybank termasuk Pengurus Cawangannya, Teo Hong Guan dan Pengurus Zon, Abdul Manab Md Ali hadir bagi membantu KRT melancarkan perjalanan program itu.

Sementara itu, pengerusi program, Abu Bakar Talib berkata, walaupun ia julung kali diadakan, penyertaannya amat menggalakkan.

"Program ini akan diteruskan lagi pada masa depan memandangkan sambutan yang diterima amat baik," katanya.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri turut hadir merasmikan program larian itu serta melepaskan peserta di garisan permulaan sebagai tanda sokongan.

SUMBER: HARIAN METRO, 15 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: