PENGUNJUNG SETIA

24 November 2010

PELAJAR SPM HIDAP KOMPLIKASI JANTUNG MENINGGAL DI DEWAN PEPERIKSAAN

LEDANG 23 Nov. – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menghidap komplikasi jantung sejak lahir, meninggal dunia di Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang, Tangkak di sini hari ini selepas sesak nafas sebelum sempat menduduki peperiksaan itu, pagi ini.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, pelajar berkenaan, Hazizul Hasah, 17, mengalami sesak nafas semasa sedang mendengar taklimat di bilik peperiksaan di sekolah tersebut.

Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran berkata, pelajar tersebut dibawa ke bilik rawatan dan sepasukan paramedik dengan ambulans yang tiba di sekolah itu 10 minit kemudian mengesahkan Hazizul telah meninggal dunia.

Beliau berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat menduduki peperiksaan bagi Bahasa Melayu Kertas 1 yang merupakan subjek pertama pada SPM tahun ini.

“Pihak Jabatan Pelajaran Negeri mengucapkan takziah atas pemergian mengejut Allahyarham dan diharap keluarganya akan banyak bersabar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, ayah Allahyarham, Hasah Eunos, 56, memberitahu, dia dimaklumkan tentang kematian anaknya itu ketika berada di kebun.

“Saya menghantarnya ke sekolah setiap hari sebab itu saya terkejut apabila mendapat panggilan daripada pihak sekolah yang mengatakan anak saya tenat dan kemudiannya meninggal dunia,” katanya yang menetap di Kampung Seri Maamor di sini.

Katanya, Allahyarham merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu dikesan menghidap komplikasi jantung sejak lahir dan dia sering membawa mangsa berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor di IJN memberitahu yang penyakit jantung anak saya ini agak kronik dan pembedahan tidak dapat dibuat untuk menyembuhkannya, namun dari semasa ke semasa kami ada membawanya ke hospital.

“Dia boleh bersekolah seperti biasa tetapi tidak boleh aktif kerana badannya boleh menjadi kebiruan. Dia juga sering batuk-batuk, namun dia seorang yang periang dan merupakan anak yang baik,” katanya yang turut memberitahu Allahyarham amat meminati mata pelajaran lukisan.

Jenazah Allahyarham yang merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Seri Maamor selepas solat zohor.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: