PENGUNJUNG SETIA

22 November 2010

SEKTOR PELANCONGAN NADI DAERAH MUAR

Oleh Junita Mat Rasid

PERKATAAN `Muar' dipercayai berasal daripada Muara dan dikatakan mungkin berasal daripada perkataan hindu iaitu `Muna' dan `Ar' yang bermaksud tiga dan sungai yang menggambarkan mengenai kewujudan Sungai Muar yang mengalir melalui bandar Muar, sekali gus menjadikannya sebagai sungai terpanjang di Johor.

Daerah Muar yang terletak bersempadan dengan daerah Ledang, Segamat, Batu Pahat serta negeri Melaka mempunyai pelbagai tarikan kerana memiliki pakej pelancongan yang lengkap termasuk eko pelancongan, juadah istimewa, tempat bersejarah, perkampungan homestay dan keindahan alam yang masih dikekalkan.

Daerah Muar mempunyai peta pelancongan yang lengkap, malah setiap kawasan mukimnya mempunyai produk berpotensi untuk terus diketengahkan bagi meletakkan namanya setaraf dengan lokasi pelancongan lain di negara ini.

Muar bukan hanya terkenal dengan kelazatan asam pedas, sate dan mi bandung Muar, malah deretan bangunan zaman kolonial dan alam sekitarnya pasti menggamit pengunjung bagi menikmati pengalaman berbeza serta keunikannya sendiri.

Bermula daripada pakej lokasi bersejarah zaman kesultanan Melaka dan kesan serangan komunis di Bukit Kepong dengan pelbagai kesan sejarah yang masih boleh dilihat sehingga hari ini serta deretan bangunan bersejarah yang dibina seawal tahun 1909 yang masih terpulihara, menjadikan Muar mampu menarik peminat sejarah untuk berkunjung ke daerah itu.

Kesan Kubu Bentayan yang menjadi lokasi terakhir kerajaan Melaka selepas serangan Portugis pada 1511 juga boleh dilihat, selain makam Sultan Aluaddin Riayat Shah 1, makam Panglima Lidah Hitam, kesan Kota Buruk dan Kota Biawak Busuk serta kesan peristiwa Bukit Kepong yang masih boleh dilawati.

Bandar Muar yang dibuka pada 1884 dan dikenali sebagai Bandar Maharani memiliki bangunan lama termasuk Masjid Jamek Sultan Abu Bakar, Bangunan Sultan Abu Bakar, Kubu Bentayan, Bangunan Kastam Diraja, Mahkamah Tinggi/Sesyen, Pejabat Cawangan Polis Trafik Muar dan Sekolah Tinggi Muar.

Selain itu Muar juga mempunyai Kolam Air Panas Sungai Gersik, Perkampungan Homestay Parit Bugis, Ladang Herba Nasuha, Hutan Bakau, Pantai Leka yang menjadi lokasi burung hijrah, unsur tradisional melalui tarian zapin Lenga, tarian barongan, kuda kepang dan kraftangan yang mempunyai permintaannya tersendiri.

Menyedari kelebihan yang ada di daerah itu, Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani, berkata pihaknya memberikan tumpuan khusus bagi meningkatkan sektor pelancongan di kawasan ini melalui usaha mengekalkannya dan promosi.

Katanya, pada masa yang sama pihaknya mahu kualiti daerah Muar ditingkatkan dan antara usaha dijalankan ialah menjadikan program Muar Daerahku, Bersih Idamanku sebagai matlamat utama memastikan persekitaran yang sihat dan indah.

"Kebersihan perlu menjadi cara hidup dan menjadi perkara penting dalam kehidupan harian, malah Sultan Johor sendiri turut menitahkan rakyat mengutamakan kebersihan yang perlu dijadikan amalan," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: