TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

27 November 2010

PEROMPAK MENYAMAR JADI PESAKIT GIGI

LEDANG – Sebuah klinik pergigian di bandar Tangkak di sini terpaksa menanggung kerugian anggaran sebanyak RM6,000 apabila dirompak dua lelaki yang berpura-pura menjadi pesakit klinik mereka.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, suspek yang bersenjatakan parang telah membawa lari wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit milik doktor, tiga kakitangan dan dua pesakit.

Salah seorang kakitangan klinik terbabit, Nurul Nazirah Abdul Malek, 20, berkata, dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku kelmarin kerana ketika kejadian dia telah berurusan dengan suspek di kaunter.

Menurutnya, dia tidak menyangka lelaki yang datang untuk mendapatkan rawatan gigi itu sebenarnya berpura-pura dan sebaliknya mempunyai niat jahat merompak di klinik itu.

“Pada jam 2 petang suspek yang berusia 40 tahun telah datang ke klinik ini dan mengatakan ingin membuat rawatan gigi.

“Tetapi, saya mengatakan bahawa pesakit sudah penuh dan memintanya datang pada hari berikutnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, namun suspek enggan berbuat demikian dan sanggup menunggu hingga ke petang semata-mata untuk mendapatkan rawatan.

Kemudian, suspek keluar seketika untuk mengambil keretanya di pusat mencuci kereta dan datang semula ke klinik berkenaan bersama seorang rakan.

“Penantian menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan berakhir dan kedua-dua suspek dipanggil masuk untuk rawatan doktor.

“Bagaimanapun tembelang suspek yang berpura-pura sebagai pesakit terbongkar apabila suspek yang berusia 43 tahun telah merompak pesakit yang sedang menjelaskan pembayaran di kaunter pembayaran,” katanya.

Nurul Nazirah berkata, sejurus selepas itu kedua-dua suspek mengarahkan sambil mengacukan parang kepada kesemua kakitangan klinik dan doktor terbabit supaya patuh kepada arahan yang diberi bagi mengelakkan dicederakan.

“Suspek berusia 40 tahun ini mengambil kesemua wang di kaunter pembayaran dan merampas barang kemas dan enam telefon bimbit,” katanya.

Sebelum melarikan diri, suspek masih sempat merompak seorang pesakit yang baru tiba untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden yang berlaku.

Menurutnya, pihaknya akan melancarkan gerakan untuk memburu kedua-dua suspek untuk tindakan yang selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun yang sama kerana samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 27 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: