PENGUNJUNG SETIA

27 November 2010

DAFTAR NAMA SEBELUM SAMUN

Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali

LEDANG: Dua penjenayah sempat mendaftar sebagai pesakit selain berpura-pura mengalami sakit gigi kronik sebelum merompak sebuah klinik gigi di bandar ini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, penjenayah yang bersenjatakan parang turut menunggu giliran bersama pesakit lain.

Kakitangan klinik, Nurul Nazirah Abdul Malek, 20, berkata dia sedang menerima bayaran rawatan daripada seorang pesakit apabila penjenayah tiba-tiba datang ke kaunter.

"Penjenayah terus mengeluarkan parang dan menggertak pesakit berkenaan supaya menyerahkan wang serta barangan berharga.

"Pada masa sama, mereka turut mengarahkan kakitangan klinik serta seorang lagi pesakit supaya melakukan perkara sama atau diugut akan dicederakan," katanya, semalam.

Ketika kejadian, seorang doktor, tiga kakitangan serta dua pesakit berada di klinik dan bimbang dengan keselamatan diri, mangsa menyerahkan wang juga barangan berharga kepada penjenayah.

Menurut Nurul, penjenayah kemudian melarikan diri dari sana dengan hasil rompakan berjumlah kira-kira RM6,000.

"Walaupun tiada sesiapa cedera dalam rompakan itu, saya trauma kerana masih terbayang wajah bengis penjenayah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris mengesahkan kejadian dan polis sedang menjejak penjenayah terbabit.

"Kami sedang mengesan penjenayah melalui butiran diri mereka yang tercatat ketika mendaftar untuk mendapatkan rawatan.

"Penjenayah dipercayai berusia lingkungan 40-an manakala kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta Seksyen 397 kanun yang sama kerana samun berkumpulan dan bersenjata," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

SUMBER: HARIAN METRO, 27 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: