PENGUNJUNG SETIA

19 November 2010

31 LEMBU DISEMBELIH


Abdul Ghani (berpayung putih) menyaksikan penduduk kampung melakukan ibadat korban sempena Majlis Korban Perdana anjuran UMNO Bahagian Ledang di Kampung Parit Pulai, Serom.

Abdul Ghani menyampaikan daging korban kepada penerima sempena Majlis Korban Perdana UMNO Bahagian Ledang di Masjid Jamek Kampung Parit Pulai, Serom.

(Foto: Hai Rozzaman Jalal | Harian Metro)

LEDANG: Sebanyak 31 ekor lembu disembelih dalam program korban UMNO Bahagian Ledang dan dagingnya diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin di setiap cawangan dalam usaha meneruskan tradisi tahunannya sempena Aidiladha.

Program Korban Perdana 2010 itu dianjurkan oleh Biro Kebajikan UMNO Bahagian Ledang dan tahun ini ia diadakan di Masjid Jamek Kampung Parit Pulai di mana UMNO Cawangan Parit Pulai sebagai tuan rumah.

Pengerusi Biro Kebajikan, Abdull Rahim Talib, berkata program Korban Perdana itu disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman selaku Ketua UMNO Bahagian Ledang.

Katanya, sebanyak 25 ekor lembu disembelih dan dilapah di kawasan masjid kampung itu oleh jawatankuasa biro dengan dibantu penduduk Kampung Parit Pulai serta cawangan berhampiran.

“Enam ekor lembu pula dihantar ke beberapa lokasi lain antaranya Tanjung Agas, Sungai Mati, Masjid Jamek Bandar Tangkak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang untuk dilaksanakan ibadat korban di kawasan itu.

“Daging korban yang telah siap dibungkus diagihkan kepada penerima dari kalangan golongan fakir miskin di 138 cawangan di Ledang manakala 35 orang penerima pula di kalangan keluarga kurang berkemampuan di Kampung Parit Pulai dan sekitarnya,” katanya pada program itu.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd Rahman; Ahli Dewan Negara, Senator Ahamat Yusop dan Ketua Kampung Parit Pulai, Mohd Som Leman.

Abdull Rahim berkata, dengan keadaan ekonomi yang stabil di mana harga komoditi getah dan kelapa sawit pada paras yang amat baik, lebih ramai penduduk kampung dapat menjalankan ibadat korban pada tahun ini.

Katanya, pihak UMNO Bahagian Ledang berterima kasih kepada individu dan korporat yang turut sama melakukan ibadat korban secara berkelompok itu dan berharap bilangannya akan bertambah pada masa akan datang.

SUMBER: HARIAN METRO, 19 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: