PENGUNJUNG SETIA

16 November 2010

JALAN MENDAP

Oleh Junita Mat Rasid

Masalah berlarutan sejak 5 tahun lalu dikhuatiri ancam keselamatan penduduk

LEDANG: Keadaan jalan mendap di dua lokasi di Taman Serom Utama, dekat sini dikatakan berlarutan sejak lebih lima tahun lalu dan dibimbangi akan berlaku kejadian tanah runtuh jika masalah berkenaan tidak diatasi segera.

Laluan mendap yang serius dikesan di Jalan Satria 7A yang menyebabkannya hanya boleh dilalui oleh motosikal dan kenderaan berat. Malah banyak kereta yang melalui kawasan berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan termasuk ekzos berikutan keadaan tanah mendap menyebabkan wujud laluan tidak rata.
Tinjauan Edisi Johor mendapati kira-kira 20 meter laluan di hujung Jalan Satria 7A yang terletak bersebelahan rumah penduduk mengalami kesan mendapan malah rumah bersebelahan yang tidak berpenghuni juga mempunyai kesan retak di kawasan luar.

Selain itu Jalan Satria 2A yang terletak bersebelahan Jalan Satria 7A juga mempunyai kesan mendapan di sepanjang lebih 50 meter.

Kesan mendapan di Jalan Satria 2A itu membabitkan hampir separuh daripada jalan berkenaan dan terletak hampir dengan deretan rumah penduduk. Walaupun pihak berkuasa pernah menurap semula laluan itu, kesan mendapan berlaku semula sehingga turut menyebabkan kerosakan longkang.

Laluan itu terletak berhampiran parit besar dan keadaan tanah mendap itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan kerosakan lebih besar yang dibimbangi boleh membahayakan nyawa penduduk dan pengguna jalan raya jika tidak diatasi segera.

Seorang penduduk, Azizan Ismail, 53, berkata keadaan tanah mendap itu berlaku sejak kira-kira lima tahun lalu dan masalah itu semakin membimbangkan apabila ia turut menyebabkan longkang di Jalan Satria 2A turut rosak dan pecah.

Katanya, mendapan di Jalan Satria 2A itu membabitkan hampir separuh daripada jalan berkenaan menyebabkan beliau bimbang jika masalah itu tidak dibaiki segera, ia akan menyebabkan kerosakan lebih teruk selain berada berhampiran dengan kawasan penduduk.

“Pada mulanya laluan di kedua-dua jalan itu rata seperti jalan lain tetapi sejak kira-kira lima tahun lalu laluan itu mula mendap sehingga Jalan Satria 7A mengalami kesan mendapan agak serius.

“Pada masa yang sama Jalan Satria 2A yang terletak di depan rumah saya juga mengalami kesan mendapan sehingga menyebabkan longkang di tepi jalan itu turut rosak,” katanya.

Azizan bimbang jika masalah jalan mendap itu tidak diatasi dengan segera ia akan menyebabkan kesan yang lebih teruk dan tidak mustahil laluan itu boleh runtuh sehingga membahayakan nyawa penduduk.

Katanya, sebelum ini pihak berkuasa pernah menampal dan menurap semula laluan di Jalan Satria 2A tetapi laluan itu kembali mendap dipercayai akibat masalah punca sebenar jalan mendap itu tidak diatasi sepenuhnya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 16 NOVEMBER 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kita tengok la berapa lama pulak kedaan ni dapat di atasi. bukan jalan mendak saja, banyak lagi jalan yang tak senonoh, tak melambangkan ada usaha dari pihak yang ada kuasa dan bertanggungjawab cuban mengatasi segera. adauan tentantang jalan ni dah banyak di buat terutama di kawasan SEROM, tapi nampaknya mereka memilih untuk ditukar gaya kepimpinan, tengok la nanti, kalau mereka betul betul mahu ditukar, kita buatlah ikut kehendak mereka. kalau mahu tengok perubahan, dan tunaikan permintaan kita, kita timbang la pulak. tak patut jalan-jalan di kawasan SEROM tu begitu teruk tanpa tindakan membaikinya dan menaikkanstatusnya. tak kan jalan yang semoit tu juga kita terpaksa lalu. malu dan malu rasanya dengan kepimpinban yang begitu kebal dengan aduan orang kampung....