PENGUNJUNG SETIA

07 November 2010

KUASAI ILMU, FAHAMI DASAR KERAJAAN - TPM

LEDANG 6 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta setiap lapisan masyarakat menguasai ilmu dan maklumat bagi memahami dasar-dasar kerajaan yang bermatlamat memajukan lagi negara.

Tegas beliau, usaha rakyat untuk menjadi lebih berpengetahuan akan membolehkan mereka mengetahui tohmahan yang dilemparkan parti pembangkang boleh membantutkan usaha membangunkan negara.

"Rakyat perlu lebih bermaklumat, mereka sepatutnya faham mengenai dasar-dasar kerajaan supaya memahami setiap pembangunan dilakukan.

"Setelah lebih 50 tahun negara merdeka, tidak pernah kita (kerajaan) melakukan sesuatu yang membawa kesan buruk, tidak pernah kita hendak merosakkan kehidupan rakyat dan boleh membawa bencana kepada negara, ini dasar kita dari dahulu sehingga kini," katanya.

Beliau berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat di Dewan Geliga, Kampung Gersik di sini hari ini.

Selain program ramah mesra itu, Timbalan Perdana Menteri meluangkan masa menghadiri sambutan Deepavali peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Serbaguna Panchor.

Beliau juga menyerahkan bantuan kepada kumpulan miskin tegar sumbangan Pertubuhan Kebajikan Sheng Jong Ji Siang di Kampung Jawa, Panchor.

Terdahulu, beliau serta isteri berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan anak penduduk, Mohamad Ramli Yasir dan Hasnah Ali iaitu Amri Yas Mohamad Ramli serta pasangannya, Nursaadah Azmon di kampung berkenaan.

Tegas Muhyiddin, tohmahan yang dilemparkan parti pembangkang menerusi saluran media alternatif hanya untuk memutarbelitkan fakta dan boleh membawa kesan buruk kepada usaha pembangunan yang dilakukan.

Jelas beliau, rakyat tidak sewajarnya terpengaruh sebaliknya berganding bahu dengan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan terutama dalam mengatasi masalah kemiskinan seterusnya menjana pendapatan rakyat.

"Kita mahu lebih berjaya lagi pada masa akan datang. Kita tidak mahu apabila Malaysia menjadi maju pada 2020, sebahagian besar rakyat tidak merasai nikmat kemajuan itu.

"Tempoh 10 tahun adalah tidak lama untuk kita letakkan pendapatan rakyat pada satu tahap yang tinggi. Kita mahu rakyat faham dan bersama-sama kerajaan dalam usaha ini," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 7 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: