PENGUNJUNG SETIA

08 November 2010

HIJRAH TAWAR PENAPIS AIR HALAL KEPAKARAN TEMPATAN

LEDANG 7 Nov. - Syarikat produk penapis air, Hijrah Toyibbah Network Sdn. Bhd. (Hijrah) menyasarkan jualan 10,000 buah produk terbarunya dikenali sebagai Bamboo Charcoal, apabila mula memasuki pasaran tempatan pada tahun depan.

Produk yang menggunakan teknologi berasaskan buluh dan tempurung kelapa itu dijangka akan menemui orang ramai menerusi rangkaian 280 stokis Hijrah Toyibbah di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Toyyibah, Mohamad M. Said berkata, produk penapis air itu dikeluarkan menggunakan kepakaran penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan kerjasama pihak Sirim Bhd. (SIRIM).

"Teknologi yang digunakan mempunyai manfaat sebagai pembunuh bakteria di dalam air selain menjadikannya lebih anti-oksida, membekalkan galian semula jadi dan membantu membuang toksik dalam badan.

"Ia juga menyah bau dan menyerap sebarang bau air yang keluar daripada paip air," kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Tangkak di sini.

Menurut Mohamad, produk Bamboo Charcoal keluaran pihaknya telah menjalani kajian oleh Prof. Dr. Jamaliah Idris dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM yang juga merupakan Pakar Konsultan syarikatnya.

Beliau berkata, Hijrah Toyyibah Network merupakan pengeluar penapis air yang pertama mendapat Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selain kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mohamad berkata, syarikatnya telah beroperasi sejak tahun 2007 dan sehingga kini, sebanyak tiga model penapis air telah dikeluarkan dengan jualan sebanyak 17,000 buah berjaya dicatatkan dalam tempoh empat tahun ini.

Katanya lagi, pihaknya memiliki kilang sendiri untuk memasang produk penapis air tersebut dan kini mengeluarkan sekitar 3,000 unit sebulan.

"Menerusi stokis-stokis kami di seluruh negara, produk-produk penapis air ini dijual dengan harga yang begitu berpatutan dan boleh dibayar secara ansuran bulanan," katanya.

Mohamad berkata, selain daripada produk penapis air, syarikatnya turut mempelbagaikan rangkaian perniagaan dengan pengeluaran silinder penapis air, dispenser air serta botol minuman air beralkali.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 8 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: