PENGUNJUNG SETIA

24 November 2010

PELAJAR MENINGGAL DUNIA SEJURUS SEBELUM SPM

Oleh Ibrahim Isa

LEDANG: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Hazizul Hasah, 17, yang meninggal dunia sejurus sebelum menduduki kertas peperiksaan Bahasa Malaysia 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang, Tangkak di sini, pagi semalam, disifatkan seorang yang periang dan tabah walaupun mengetahui mempunyai masalah jantung.

Bapanya, Hasah Eunos, 56, berkata tekad arwah anaknya yang tetap mahu ke sekolah untuk belajar dan tidak mahu ketinggalan walaupun mempunyai penyakit jantung kronik cukup membanggakannya.

Hazizul mengalami komplikasi jantung sejak dilahirkan dan sering berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan. Walaupun keadaannya demikian, dia tetap mahu ke sekolah.

Sebagai bapa, sikapnya yang tetap ingin ke sekolah untuk menimba pelajaran walaupun sedar kesihatannya kurang baik dan mukanya boleh berubah kebiruan walaupun hanya berjalan sejauh 50 meter amat membanggakan saya.

Melihat minatnya itu, saya sendiri menghantar arwah setiap pagi ke sekolah sebelum ke kebun getah dan mengambilnya selepas sekolah, katanya ketika ditemui di Kampung Seri Maamor di sini, semalam.

Hazizul mengadu sesak nafas kira-kira jam 7.45 pagi ketika mendengar taklimat mengenai peperiksaan Bahasa Malaysia 1 di dewan sekolah itu.

Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran berkata Hazizul mengadu sukar bernafas kepada pengawas peperiksaan sebelum dibawa keluar dari dewan peperiksaan dan ditempatkan di bilik rehat.

Pihak pentadbiran sekolah menghubungi ambulans, bagaimanapun beliau disahkan meninggal dunia selepas 10 minit pegawai perubatan tiba di sekolah, katanya kepada pemberita selepas melawat calon SPM Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura di Kulaijaya.

Peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia bermula semalam.

Hasah berkata, beliau mendapat tahu mengenai kejadian menimpa anaknya ketika berada di kebun getah selepas menghantarnya ke sekolah beberapa minit sebelum itu.

Saya terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada sekolah mengatakan anak saya meninggal dunia, katanya.

Allahyarham yang juga anak lelaki tunggalnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Maamor selepas zuhur.

Sementara itu, seorang lagi calon SPM di Kluang meninggal dunia, kelmarin akibat penyakit buah pinggang.

Mohd Fazli Yusop, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Belitong, dekat Kluang, meninggal dunia selepas mendapat rawatan dialisis di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru.

Tiada ulasan: