PENGUNJUNG SETIA

22 November 2010

KEMAJUAN, ALAM SEMULA JADI KEISTIMEWAAN DAERAH LEDANG

Oleh Junita Mat Rasid

DAERAH Ledang yang diambil sempena nama Gunung Ledang iaitu antara gunung yang terkenal di negara ini dengan ketinggian 1,276 meter menjadikannya seseorang boleh melihat Selat Melaka dan Sumatera, Indonesia dengan jelas.

Selain dikenali dengan lagenda Puteri Gunung Ledang yang jelita dan dikatakan mendiami gunung berkenaan, kelebihan gunung itu juga dikaitkan dengan kekayaan spesies flora dan fauna yang sukar ditemui di tempat lain.

Ledang adalah daerah ke-10 dan paling bongsu di Johor dengan bandar utamanya dikenali sebagai Tangkak dan turut meliputi kawasan Tanjung Agas, Kesang, Sungai Mati, Serom, Sagil dan Bukit Gambir.

Jika Gunung Ledang terkenal dengan lagenda puterinya, kejayaan daerah Ledang pula bukan sekadar mi-tos semata-mata, tetapi dibuktikan dengan perubahan pembangunan fizikalnya, selain tarikan alam semula jadi yang kekal terpulihara.

Daerah Ledang yang dipisahkan dengan daerah Muar berdasarkan limbangan Sungai Muar iaitu dari muara sehingga sempadan daerah Segamat, dibahagikan kepada enam mukim iaitu Serom, Tangkak, Kundang, Kesang, Gersik dan Bukit Serampang dengan 132,778 penduduk, manakala Pegawai Daerahnya ialah Amran Abdul Rahman.

Mengikut perancangan terbaru, sebuah hab perabot antarabangsa dengan pusat pameran yang luas akan dibina di Tangkak bagi meningkatkan lagi pertumbuhan industri itu dengan tapak seluas 15 hektar sudah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Projek pembangunan yang bakal direalisasikan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-Ke10) itu akan dibina dengan kos kira-kira RM300 juta, sekali gus menjadikan Daerah Ledang sebagai tumpuan pelabur, pengilang dan pembeli perabot dari dalam dan luar negara.

Pemilihan kawasan itu berikutan ia menjadi lokasi strategik sebagai hab perabot kerana daerah itu bersama Muar menyumbang kira-kira 45 peratus daripada jualan perabot di negara ini iaitu dengan nilai jualan RM8 bilion setahun.

Hab perabot antarabangsa itu dijangka akan melonjakkan lagi sektor pembuatan apabila turut memperkenalkan pelbagai mesin terbaru dan berteknologi tinggi kepada industri dan merancakkan lagi pertumbuhan industri perabot negara serta memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Tangkak yang menjadi bandar utama daerah Ledang mencatatkan pertumbuhan pesat dari sektor ekonomi sehingga menjadikannya sebagai bandar tekstil kerana dipenuhi deretan kedai menjual pelbagai kain ela dan langsir.

Jika dulu Tangkak hanya bertemankan sunyi dan kehilangan seri apabila malam menjelma, namun sejak beberapa tahun ini, usaha pencahayaan dan memperindahkan bandar yang giat dijalankan pihak berkuasa berjaya menceriakan bandar itu.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: