PENGUNJUNG SETIA

03 November 2010

356 CALON STPM TUNAI SOLAT HAJAT


SEBAHAGIAN daripada calon-calon peperiksaan STPM 2010 yang mengikuti Program Qiamullail dan Solat Hajat Perdana anjuran Belia 4B di Masjid Sultan Ibrahim, Muar, baru-baru ini.


MUAR 2 Nov. - Seramai 356 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Muar dan Ledang kini giat mempersiapkan diri bagi menghadapi peperiksaan itu dengan pelbagai cara antaranya menyertai Program Qiamullail dan Solat Hajat Perdana anjuran Gerakan Belia 4B di Masjid Sultan Ibrahim, di sini baru-baru ini.

Program yang menghimpunkan pelajar-pelajar tingkatan enam iaitu 254 perempuan dan 98 lelaki itu turut memuatkan pengisian ceramah motivasi kecemerlangan pelajar di samping ceramah kenegaraan.

Majlis perasmian program yang julung kali diadakan itu disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Muar dan Ledang, Jamal Abdullah manakala majlis penutupnya disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali.

Menurut Pengarah Program Qiamullail dan Solat Hajat Perdana berkenaan, Mohd. Radzi Amir, program berkenaan merupakan kerjasama Gerakan Belia 4B dari empat kawasan Parlimen di sekitarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Belia 4B Parlimen Bakri memberitahu, matlamat utama penganjuran program berkenaan adalah untuk memberi motivasi kepada para pelajar serta mendekatkan golongan tersebut dengan aktiviti kerohanian di masjid.

"Menerusi program ini, kami sama-sama berdoa supaya calon-calon STPM ini dapat berjaya dalam peperiksaan pada 25 November depan dan seterusnya berjaya sampai ke universiti," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 3 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: