PENGUNJUNG SETIA

04 November 2010

BANTAH SISTEM LETAK KERETA


LEDANG – Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta penduduk di Bukit Gambir, di sini sebulat suara membantah cadangan Majlis Daerah Tangkak (MDT) untuk melaksanakan sistem letak kereta berbayar di Pekan Bukit Gambir.

Bantahan cadangan itu diutarakan melalui perhimpunan yang disertai kira-kira 30 ahli PR yang diadakan di Pusat Aduan Rakyat (PAR) Majlis Tindakan DUN (MTD) Gambir di sini, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Pas Negeri Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, bantahan tersebut dilakukan selepas MDT mengumumkan untuk melaksanakan sistem tersebut mulai awal tahun 2011 depan.

Menurutnya, meskipun sebagai permulaan dalam pelaksanaan sistem itu akan memberikan potongan hingga Jun 2011 dan pelaksanaan sepenuhnya pula adalah pada Julai 2011 tetapi penduduk tetap tidak setuju dengan cadangan tersebut.

“Kami berpendapat pelaksanaan sistem ini masih belum sesuai dengan alasan-alasan yang munasabah.

“Paling utama ialah Pekan Bukit Gambir belum pesat membangun dan banyak kekurangan yang perlu difikirkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, antara perkara yang perlu dipertimbangkan ialah bangunan Balai Bomba dan Penyelamat belum siap dibina dan beroperasi, Plaza Tol Bukit Gambir masih dalam pembinaan dan Pusat Komersial di Bukit Gambir masih dalam pembinaan.

“Kini hanya terdapat dua sahaja bank di Bukit Gambir iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan CIMB; tiada kemudahan perhentian bas dan teksi dan tiada pusat kesihatan yang lengkap,” katanya.

Selain itu, Mahfodz berkata, perbandingan dalam aspek pembangunan di antara pekan Bukit Gambir dengan Pekan Yong Peng juga perlu dilihat.

“Pekan Yong Peng adalah lebih maju dan membangun berbanding Pekan Bukit Gambir tetapi pekan itu masih belum melaksanakan sistem letak kereta berbayar.

“Jika sistem ini dikuatkuasakan pada tahun hadapan ia akan menyusahkan orang ramai untuk berurusan di Pekan Bukit Gambir,” katanya.

Katanya, secara tidak langsung ia hanya memberikan beban dan kebimbangan kepada peniaga-peniaga ke­rana kemungkinan akan kehilangan pelanggan.

Pada masa yang sama, sistem tersebut belum sesuai dilaksanakan kerana masih banyak ruang dan tempat untuk meletak kereta.

“Pada hemat kami pelaksanaan sistem ini hanya akan memberi beban kepada orang ramai yang berpendapatan rendah kerana majoriti penduduk di Bukit Gambir terdiri daripada golongan petani, buruh dan bekerja sendiri,” katanya.

Justeru, berdasarkan alasan-alasan yang diberikan PR dan penduduk di sini meminta jasa baik MDT supaya menangguhkan pelaksanaan sistem tersebut kepada tarikh yang lebih sesuai.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 04 NOVEMBER 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau dah pakai kereta, makna mereka bukan lagi berpendapatan rendah beb. Nak bandingkan bkt gambir dgan yong peng apa yang maju dengan yong peng. tak lama lagi maybank akan buka cawangan disitu. Pergi Melaka di pekan kecil spt merlimau pun kena bayar parking beb.