PENGUNJUNG SETIA

07 April 2012

BAKAL PENGANTIN CARI BAPA TERPISAH SEJAK UMUR SETAHUN


MUAR: Seorang bakal pengantin dari Parit Raja, Gersik, di sini, meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan bapa kandungnya yang terpisah sejak dia berusia setahun untuk menjadi wali pada majlis pernikahannya pada 5 Mei ini.

Junaidah Jumaat, 30, berkata, dia tidak pernah mengenali bapanya kerana dibesarkan ibu, Darmi Ongso, 60, sejak kecil.

"Saya berusaha mengesan bapa, Jumaat Hassan, 63, di merata lokasi tetapi tidak berjaya. Jika bapa tidak ditemui, Mahkamah Rendah Syariah Ledang akan membenarkan abang sulung, Juraini yang berusia 35 tahun menjadi wali.

"Saya dimaklumkan saudara sebelah keluarga bapa bahawa dia masih hidup, namun mereka sendiri tidak tahu dia berada di mana," katanya, semalam.

Menurut Junaidah, sejak berpisah dengan ibu, Jumaat tidak pernah berhubung dengan mereka hingga kini.

Junaidah berkata, berdasarkan maklumat diberikan ibunya, Jumaat adalah bekas kakitangan syarikat air di Singapura dan berkahwin lain sebelum berpisah dengan Darmi.

"Ketika saya berusia setahun, keluarga kami menetap di Singapura, tetapi selepas bapa berkahwin baru, ibu kembali ke Parit Raja untuk membina hidup baru.

"Saya juga pernah berusaha mengesan bapa di Singapura, namun gagal kerana tidak mempunyai alamat tepat," katanya.

Menurut Junaidah, bapanya turut terputus hubungan dengan ahli keluarga lain.

"Saya mohon bapa tampil segera bagi mewalikan pernikahan saya. Walaupun sudah lama terpisah namun saya tetap mahu bersua dengan bapa," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 07 APRIL 2012

Tiada ulasan: