PENGUNJUNG SETIA

03 April 2012

JASA BANTU IBU TUNGGAL BAIKI RUMAH


LEDANG: Seorang ibu tunggal yang hidup dalam kemiskinan terpaksa mendiami rumah usang di Kampung Bekoh, Tangkak di sini, bersama anak dan cucunya.

Lebih menyedihkan, setiap kali hujan, bahagian dapur rumah Gayah Tawil, 65, dibasahi air hujan dan terpaksa ditadah menggunakan besen.

Menurut Gayah, pendapatan anak lelakinya yang hanya bekerja kampung tidak mencukupi untuk mengganti zink dan akibat bimbang ia diterbangkan angin ia terpaksa ditindih dengan kayu.

"Saya pernah membuat permohonan bagi mendapatkan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun hampa.

"Saya tinggal bersama tiga anak dan tiga cucu di rumah ini, walaupun anak bekerja, pendapatan diperoleh tidak mencukupi untuk mengganti zink yang bocor," katanya yang ditemui pada program gotong-royong anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Daerah Ledang untuk membaik pulih kerosakan rumah berkenaan.

Gayah yang bersyukur dengan bantuan berkenaan berkata, keluarganya kini tidak perlu risau lagi apabila hujan.

"Terima kasih kerana membantu golongan berpendapatan rendah seperti kami," katanya.

Program Jasa Prihatin itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan Pegawai Jasa Daerah Ledang, Mohd Fadli Saat.

Mohd Fadli berkata, pihaknya simpati dengan keadaan rumah Gayah yang uzur dan menyalurkan bantuan berupa bahan binaan seperti zink dan kayu.

"Kerja menggantikan zink yang bocor itu dijalankan secara gotong-royong bersama penduduk Kampung Bekoh bagi meringankan beban keluarga berkenaan," katanya.

Sementara itu, Goh berkata, melalui program Jasa Prihatin, ia memberi peluang kepada pemimpin bertemu penduduk kampung sambil beramah mesra dan menyelami masalah dihadapi mereka.

SUMBER: HARIAN METRO, 03 APRIL 2012

Tiada ulasan: