TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

10 April 2012

MATI MAKAN NASI LEMAK PASAR MALAM

LEDANG: Tindakan seorang bapa membelikan makanan kegemaran anak sulungnya di sebuah pasar malam dekat Tangkak di sini, mengundang tragedi apabila anak sulungnya itu mati akibat keracunan makanan selepas tiga hari menikmati makanan berkenaan.

Pensyarah di Kolej MARA Tangkak, Zainal Abidin Ali, 35, tidak menyangka nasi lemak yang dibelinya sebagai hidangan makan malam untuk keluarganya meragut nyawa anak sulungnya, Fakhira Batrisyia, 7, selain dirinya serta isteri, Farhana Mokhtar, 32, terpaksa dimasukkan wad sejak lapan hari lalu akibat keracunan makanan kritikal.

Pasangan itu yang kini masih menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di sini, trauma mengenangkan kematian anak sulung mereka.

Zainal berkata, beliau sekeluarga singgah di pasar malam dekat Taman Tangkak Jaya pada 31 Mac lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Wawasan Tangkak, selepas selesai membeli-belah bersama keluarga di Muar.

"Oleh kerana anak sulung saya menggemari nasi lemak, saya membeli empat bungkus nasi lemak selain murtabak dan soto sebagai hidangan makan malam kami. Namun, hanya saya, isteri dan anak sulung yang memakan nasi lemak.

"Dua lagi anak kami berusia dua dan lima tahun hanya menjamah martabak, manakala soto yang dibeli terpaksa dibuang kerana sudah basi," katanya.

Farhana berkata, Fakhira mula mengadu sakit perut sebelum muntah dan cirit-birit pada tengah malam, sebelum beliau dan suami turut mengalami simptom sama.

"Kami mahu membawa Fakhira ke klinik keesokan harinya, namun membatalkan hasrat itu selepas arwah keletihan. Pada masa sama, saya dan suami juga keletihan akibat turut muntah dan cirit-birit. "Namun pada pagi 2 April lalu, arwah dan suami saya semakin lesu, lalu saya memutuskan untuk membawa Fakhira ke Hospital Tangkak, namun segalanya sudah terlambat, apabila anak saya disahkan meninggal tanpa sempat dibawa ke hospital," katanya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Haron Idris, berkata siasatan awal mendapati 25 individu mengalami keracunan makanan akibat memakan nasi lemak dan martabak dibeli di pasar malam berkenaan.

Katanya, kematian mangsa ketika ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tetapi siasatan lanjut sedang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri, Dr Robia Kosai, berkata siasatan Jabatan Kesihatan Johor mendapati peniaga yang menjual nasi lemak itu berasal dari Merlimau, Melaka.

SUMBER: BERITA HARIAN, 10 APRIL 2012

1 ulasan:

Adi Hasim berkata...


Peniaga hanya mahu membuat keuntungan tanpa Research & Development, kesan jangka panjang pengeluar tidak peduli jika pengguna dapat cancer.
Kita sebagai pengguna harus berhati-hati ketahuilah di mana makanan anda diproses dan apa yang mereka tidak mahu anda tahu.
https://www.youtube.com/watch?v=bJe-AHUGU18