TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

12 April 2012

PELAJAR BERJAYA DAPAT IMBUHAN

LEDANG: Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri menunaikan janjinya dengan menyerahkan sumbangan komputer riba serta wang tunai kepada 45 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 dari lapan sekolah dalam Parlimen Ledang, kelmarin.

Hamim berkata, sumbangan itu dilakukannya sejak 2006 bertujuan memberi semangat kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM supaya bersungguh-sungguh serta fokus untuk berjaya.

"Ia pengiktirafan kepada mereka yang berjaya menyahut cabaran mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan itu.

"Sebelum ini, saya berjanji akan memberi komputer riba kepada pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan itu bagi setiap sekolah serta RM200 kepada pelajar cemerlang lain," katanya pada penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM dan STPM 2011 Parlimen Ledang di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir.

Hadir sama, Pengetua SMK Bukit Gambir, Fauziah Mansor; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Abdul Hamid Majid dan pengetua sekolah sekitar Parlimen Ledang.

Hamim berkata, pendekatan itu menjadi pembakar semangat kepada calon dan ia terbukti apabila lebih daripada tiga pelajar mendapat keputusan cemerlang dan ia menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

"Usaha bersungguh-sungguh pengetua, guru, pelajar dan ibu bapa mampu menghasilkan pencapaian cemerlang dalam kalangan pelajar yang menduduki peperiksaan berkenaan.

"Peningkatan dan pencapaian cemerlang setiap sekolah di Ledang perlu diteruskan dan saya akan sentiasa membantu sekolah mengadakan program kecemerlangan seperti kelas tambahan dan motivasi," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 12 APRIL 2012

Tiada ulasan: