PENGUNJUNG SETIA

26 April 2012

RAMAI TAGIH HEROIN, SYABU


LEDANG: Belia berusia antara 35 hingga 40 tahun golongan paling ramai ditahan di daerah ini berkaitan kesalahan narkotik sejak 1 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris berkata, pihaknya menahan 46 penagih dadah iaitu 31 pada Mac lalu dan bakinya membabitkan beberapa tangkapan sehingga semalam.

"Berdasarkan rekod, golongan belia berumur antara 35 hingga 40 tahun yang paling ramai ditahan iaitu 19 berbanding 12 yang berusia antara 30 hingga 34 tahun.

"Bagi tempoh hampir dua bulan itu, hanya seorang remaja dalam kumpulan umur 14 hingga 18 tahun ditahan. Seramai 10 individu ditahan berusia antara 19 hingga 24 tahun dan enam lagi dalam kumpulan umur 25 hingga 29 tahun," katanya.

Menurut Harun, rekod menunjukkan tiada pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah berkenaan yang ditahan bersabit kesalahan narkotik dalam tempoh itu.

Harun berkata, sebahagian besar penagih ditahan menagih heroin dan syabu.

"Daripada jumlah keseluruhan ditahan, sembilan disiasat mengikut Seksyen 39A (1), lima Seksyen 39A (2), 16 Seksyen 12 (2) dan lima lagi di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya.

"Masalah penagihan dadah tidak boleh dipandang remeh kerana mereka mampu bertukar menjadi penjenayah berbahaya seperti pencuri, perogol, perompak malah pembunuh," katanya.

Menurut Harun, selain itu, penagih dadah juga boleh menjadi punca Aids dan membunuh ahli keluarga sendiri melalui penyebaran virus HIV.

Oleh itu, Harun menggesa orang ramai supaya membantu polis menyalurkan maklumat bagi memerangi dadah.

"Kami mahu pastikan 2015 menjadi tahun bersih daripada masalah dadah dan untuk itu, kerjasama daripada masyarakat amat dialu-alukan di samping kami memperhebatkan operasi membanteras pengedaran dan penagihan dadah," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 26 APRIL 2012

Tiada ulasan: