PENGUNJUNG SETIA

26 April 2012

PROTON PREVE DIARAK KE SEKITAR DAERAH LEDANG

Wartawan Sinar Harian

Pelepasan program Proton Preve Jelajah Ledang

LEDANG - Wakil pengedar kereta Proton Holdings Bhd (Proton) di daerah ini, Kenari Bernas Sdn Bhd mengambil inisiatif memperkenalkan kereta terbaru Proton Preve kepada penduduk melalui Program Proton Preve Jelajah Ledang.

Program yang bermula di premis syarikat tersebut di bandar Tangkak membuat penjelajahan ke sekitar daerah itu yang turut diiringi 20 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Muar Bikers Club.
Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri berkata, program itu mencipta sejarah apabila pertama kali Proton Preve diarak ke seluruh daerah untuk memperkenalkan produk baru Proton itu kepada masyarakat Ledang.

Menurutnya, seluruh penduduk di Ledang dapat menyaksikan dengan lebih dekat Proton Preve itu tanpa perlu pergi ke pusat pameran apabila konvoi berkenaan singgah di pekan-pekan kecil.

“Kita berbangga dengan kejayaan Proton mengeluarkan kereta terbaru ini yang membuktikan negara semakin maju di bawah kepimpinan kerajaan sekarang.

“Kita mesti kekalkan kerajaan sekarang dan jangan rosakkan perpaduan serta kejayaan yang telah dicipta demi keselesaan generasi akan datang,” katanya selepas melakukan pelepasan Program Proton Preve Jelajah Ledang di pekarangan Kenari Bernas Sdn Bhd dekat Tangkak, baru-baru ini.

Hamim berharap melalui promosi berkenaan lebih ramai masyarakat di Ledang berminat sama ada memandu uji mahupun membuat pesanan bagi memiliki Proton Preve berkenaan.

Difahamkan, pada program penjelajahan itu mereka turut singgah di beberapa pekan seperti Sagil, Bukit Gambir, Serom, Sungai Mati, Tanjung Agas dan Kesang bagi memberi peluang penduduk melihat lebih dekat kereta terbaru Proton itu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang, Zaidi Abd Majid; Ketua MIC Bahagian Ledang, T Murugiah dan Pengurus Kenari Bernas Sdn Bhd, Ee Boon Keng.

SUMBER: SINAR HARIAN, 26 APRIL 2012

Tiada ulasan: