TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

21 April 2012

PEMADAM LEDANG SASAR TAMBAH AHLI KAUM CINA DAN INDIA

Wartawan Sinar Harian

LEDANG – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Daerah Ledang menyasarkan untuk menambah bilangan ahli terdiri daripada kaum Cina dan India agar usaha membasmi dadah menjadi lebih berkesan.
Pengerusinya, Ab Han Ramin berkata, ketika ini Pemadam Ledang mempunyai 1,092 ahli dan menyarankan supaya ahli jawatankuasa menjadi ahli tetap Pemadam.
Menurutnya, walaupun daerah Ledang mempunyai bilangan ahli paling ramai di negeri Johor, namun ia belum cukup untuk membantu mengatasi masalah dadah yang semakin mencabar pada hari ini.

“Mereka yang terlibat dengan jenayah dadah dilihat semakin berani, bukan hanya di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar.
“Bahkan mereka lebih licik dengan menjadikan rumah sebagai makmal mini proses dadah sebelum diedarkan kepada penagih-penagih,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Pemadam Daerah Ledang kali ketiga di Dewan Jubli Intan Tangkak di sini, kelmarin.
Beliau yang juga Pegawai Daerah Ledang berkata, ramai yang terjebak dengan jenayah dadah didorong oleh sikap tamak untuk mengaut keuntungan dengan jalan mudah.
“Lebih malang apabila mereka terpedaya dengan habuan lumayan dan berani tanggung risiko menjadi keldai dadah.
“Walaupun media massa banyak mendedahkan nasib mangsa keldai dadah, tetapi masih ramai yang tidak sedar dan terus terjebak dengan kancah ini,” katanya.
Ab Han berkata, kerajaan sangat serius untuk mengatasi masalah itu dan usaha tersebut termasuk dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Katanya lagi, dengan sebab itu kerajaan meletakkan seramai 27,000 anggota polis di kawasan 'panas' dan melatih 32,000 anggota Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) bagi membantu mencegah jenayah dadah.
“Lebih bangga apabila seramai tiga juta sukarelawan mendaftar sebagai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Usaha ini bermatlamat untuk menjadikan negara lebih selamat dan bebas dadah menjelang tahun 2015,” katanya.
Katanya, walaupun usia Pemadam di Ledang baru setahun, tetapi bukan penghalang untuk memberi tunjuk ajar kepada orang ramai mengenai bahaya-bahaya penggunaan dadah.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Pemadam Daerah Ledang, Hairunnazli Esa; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris.

SUMBER: SINAR HARIAN, 21 APRIL 2012

Tiada ulasan: