TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

05 April 2012

JASA BANTU 10 WARGA EMAS TERLANTAR SAKIT

LEDANG: Prihatin dengan nasib warga emas yang terlantar sakit, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Daerah Ledang berkunjung ke 10 kediaman golongan berkenaan di beberapa kampung sekitar Kesang, kelmarin untuk menziarah serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian selain wang tunai.

Pegawainya, Mohd Fadli Saat berkata, pihaknya terpanggil menziarahi golongan berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar sakit mereka serta bantuan yang boleh disalurkan.

Menurut Mohd Fadli, kunjungan berkenaan dibuat sempena program Jasa Prihatin yang turut disertai Pengarah Jasa Negeri Johor, Muhammad Abu Bakar.

"Kami mendapat maklumat 10 warga emas di kampung di sekitar Kesang uzur akibat sakit tua serta angin ahmar. Kami datang untuk menziarah bagi bertanyakan khabar serta menghulurkan sumbangan.

"Ia diharap dapat mengurangkan beban keluarga mereka dan pada masa sama, kami akan cuba bantu golongan itu dari semasa ke semasa," katanya.

Menurut Fadli, selain menziarahi warga emas yang uzur, program Jasa Prihatin turut membantu beberapa penduduk di sekitar daerah berkenaan seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, Tangkak dan Gambir.

"Kami menghulurkan bantuan membaiki atap rumah penduduk yang bocor dengan menyumbangkan bahan binaan seperti kayu dan zink," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 05 APRIL 2012

Tiada ulasan: