LEDANG 28 Jan. - Daerah ini menjadi perintis
memperkenalkan penggunaan benih padi baharu MRQ 76 di 1,531 hektar sawah
di negeri ini dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan memenuhi
permintaan terhadap beras wangi berkualiti tinggi.
Jenis tersebut yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia (MARDI) menjadikan kawasan kira-kira 2.4 hektar di
Kesang Tasek, dekat sini sebagai projek perintis untuk melihat
kesesuaian dan hasilnya.
Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, mengikut
perancangan apabila jenis MRQ 76 berjaya ditanam dan mengeluarkan
produktiviti tinggi di Kesang Tasek, benih baharu itu turut akan ditanam
di daerah lain.
"Kesang Tasek menjadi model untuk seluruh negeri ini. Selepas ini
kita akan gunakan varieti ini di semua kawasan sawah di Ledang iaitu di
Kesang Tasek dengan keluasan 76 hektar, Kesang Gate (32.4), Pulau
Penarek (50.7), Telok Rimba (151.52) dan Sawah Ring (270).
"Ledang menyumbang kira-kira 70 peratus hasil beras untuk negeri ini
dan kita percaya selepas ini Mersing yang merupakan kawasan sawah padi
kedua terbesar akan menggunakan benih baharu ini diikuti daerah lain,"
katanya ketika ditemui selepas majlis menuai padi baharu MRQ 76 di
Kampung Kesang Tasek, hari ini.
Beliau berkata, varieti baharu itu mempunyai banyak keistimewaan,
antaranya pokok tegak serta tegap dengan daun pengasuh yang panjang dan
tegak, matang pada 117 hari selepas ditabur benihnya, selain tahan
penyakit karah atau serangan kulat yang merosakkan tangkai dan daun
serta tahan serangan bena perang iaitu serangan ulat, serangga, hawar
daun bakteria, hawar seludang dan penyakit merah virus.
MRQ 76 turut menghasilkan beras seroi atau peroi yang lembut, melekit
dan sedikit berketul serta mampu mencecah lima hingga enam tan metrik
bagi satu hektar sawah dan boleh dijual RM1.60 sekilogram (kg)
berbanding beras jenis lain seperti MR220CL1 dan MR220CL2 iaitu RM1.15
bagi satu kilogram.
"Benih jenis ini sesuai ditanam di kawasan yang bukan jelapang padi.
Johor menjadi negeri keempat menggunakan benih ini selepas Terengganu,
Kedah, Perak dan Melaka," katanya sambil memberitahu benih tersebut
mampu meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kos penanaman atau
penyelenggaraan kerana tidak perlu menggunakan racun atau baja kimia
bagi mengawal serangga atau penyakit.
Abdullah berkata, MRQ 76 hanya menggunakan baja organik dihasilkan
daripada najis ayam atau lembu dan kaedah tersebut mesra alam serta
lebih selamat.
"Penggunaan varieti baharu ini juga disasar bagi mengurangkan 30
peratus atau kira-kira RM500 juta yang dibelanjakan untuk import beras
wangi dari Vietnam, Thailand dan Kemboja bagi menampung keperluan dalam
negara," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 JANUARI 2014
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 JANUARI 2014