LEDANG 30 Mac - Generasi muda bakal mewarisi
negeri ini dalam keadaan yang suram, gelap dan tidak menentu masa
depannya jika mandat kali ini diberi kepada pembangkang pada Pilihan
Raya Umum Ke-13.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ketidakcekapan
pembangkang dalam urus tadbir akan membuatkan pembangunan serta
pertumbuhan ekonomi negara terjejas dan secara langsung memberi kesan
buruk terhadap peluang dan pasaran kerja.
"Kita tidak boleh harap pembangkang untuk membawa pembangunan dan kemajuan.
"Kalau biarkan negara ini ditadbir pembangkang, maka ekonomi
terbantut, tidak ada pertumbuhan ekonomi dan tidak ada pelaburan,"
katanya ketika berucap dalam Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia
Parlimen Ledang 2013 di Pulau Penarik, Sungai Mati dekat sini malam
tadi.
Bukan itu sahaja katanya, langkah tersebut juga akan menyebabkan peluang kerja begitu terhad untuk anak-anak muda.
"Mereka yang keluar sekolah, universiti dan maktab tidak akan mempunyai pekerjaan," katanya.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi
negeri dan ADUN Tangkak, Goh Tee Tee.
Pada majlis tersebut, Abdul Ghani yang juga ADUN Serom menerima hasil
kutipan derma Tabung Wira Lahad Datu daripada ahli-ahli Muar Scram Club
berjumlah RM1,782.
Abdul Ghani berkata, jika diberi peluang kepada pembangkang menjadi
kerajaan bermakna menempa kemusnahan kepada negara dan perkara ini harus
dielakkan dengan membuat pilihan yang bijak serta menjamin masa depan
dalam pilihan raya umum akan datang.
Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak terus mencipta kemajuan sebagai kesinambungan
sejak merdeka 56 tahun lalu dan nasib orang muda cukup terbela serta
berperanan dalam pembangunan negara.
SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 31 MAC 2013