TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

29 Mac 2013

CERAMAH PEMBANGKANG TIDAK GUGAT BN LEDANG

HAMIM Samuri (dua dari kanan) beramah mesra dengan pelajar cemerlang yang menerima komputer riba pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM dan STPM 2012 Parlimen Ledang di SMK Ledang, Johor, semalam. 
 
LEDANG 28 Mac - Kehadiran antara 300 sehingga 1,000 penduduk setempat dalam ceramah-ceramah pembangkang yang kini semakin kerap dianjurkan di daerah ini bukan petanda Barisan Nasional (BN) mula tergugat.

Timbalan Pengerusi BN Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, perkara itu memandangkan kebanyakan yang hadir itu merupakan penduduk dari luar daerah dan dibawa ke ceramah-ceramah untuk meramaikan majlis terutama apabila pemimpin tertinggi pembangkang hadir.

"Kita sudah siasat perkara ini dan kebanyakan yang datang bukan orang tempatan kerana majoritinya adalah orang luar. Jadi kita tidak perlu risau dengan perkembangan ini dan kita tidak halang sesiapa pun mahu membuat ceramah.

"Bagaimanapun kita tidak ambil mudah perkara ini. Pada masa sama persiapan Pilihan Raya Umum Ke-13 sudah kita lakukan sejak tahun lalu lagi. BN pun sudah bekerja sejak selepas pilihan raya umum lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 Parlimen Ledang di Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang, di sini hari ini.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, pihaknya mempunyai gerak kerja berkesan dan strategi tertentu dalam memenangi hati pengundi sama ada di peringkat Parlimen atau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, Parlimen Ledang dalam pilihan raya umum akan datang mempunyai pertambahan 10,000 pengundi baharu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 68,000 berbanding 58,000 dalam pilihan raya umum lalu.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus adalah Melayu sementara 35 peratus Cina manakala selebihnya India.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 MAC 2013

Tiada ulasan: