PENGUNJUNG SETIA

09 Mac 2013

YAYASAN WARISAN JOHOR KENAL PASTI 15 JENIS ZAPIN

TANGKAK - Johor melalui Yayasan Warisan Johor dalam kajiannya selama 15 tahun mengenal pasti 15 jenis tarian zapin untuk dikembangkan sebagai usaha menyemarakkan kegiatan seni budaya di negeri itu.
  
Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata bagi mencapai hasrat tersebut yayasan mengambil pendekatan melatih guru tarian zapin bagi melahirkan kumpulan tarian zapin berkualiti tinggi.
  
"Melalui pendekatan ini, kita telah berjaya melahirkan kumpulan tarian zapin yang mempunyai kualiti tersendiri," katanya ketika merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya 'Sentuhan Rakyat' di Kompleks Sukan Tok Laji, Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati di sini hari ini.
  
Menurut beliau kemajuan sesebuah negeri akan menjadi tempang jika tumpuan hanya diberikan kepada usaha membangun ekonomi atau yang berbentuk kebendaaan semata-mata.
  
"Apabila kita hendak maju, kukuh ekonomi dan makmur, ia mesti disertai dengan pembangunan seni budaya, lebih-lebih lagi Johor sememangnya terkenal dan kaya dengan kesenian dan budaya di kalangan masyarakatnya," katanya.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johor itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Johor, Asiah Md Ariff.
  
Abdul Ghani berkata selain Zapin Johor juga berjaya menyemarakkan kumpulan gazal dan lagu keroncong yang disiarkan melalui siaran radio Best 104 setiap hari.
  
"Kita mengharapkan agar penekanan akan terus diberikan dalam pembangunan bidang kesenian dan kebudayaan sebagai jati diri masyarakat di negeri ini," katanya.
  
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Serom turut bersama masyarakat setempat bergotong-royong mengecat balai raya kampung tersebut. - Bernama

SUMBER: SINAR HARIAN, 09 MAC 2013

Tiada ulasan: