TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

05 Mac 2013

MANIFESTO PANCING UNDI - MB

ABDUL Ghani Othman (dua dari kiri) dan Jamilah Ariffin (kanan) menerima cenderamata dalam Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, malam kelmarin. 
 
LEDANG 4 Mac - Rakyat negeri ini diingatkan tidak terpengaruh dengan janji manis pihak pembangkang menerusi manifestonya kerana merupakan satu fantasi politik yang boleh menghancurkan masa depan negara.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, manifesto itu tidak berpijak di bumi nyata dan dibuat kerana terlalu ghairah untuk mendapatkan kuasa memerintah negara dan menggunakannya sebagai modal untuk meraih sokongan rakyat.

"Kita jangan beri peluang kepada pakatan pembangkang untuk memerintah negara ini kerana tawaran manifesto pihak itu hanya akan menjejaskan ekonomi negara, sekali gus menyebabkan negara mengalami nasib sama seperti Greece dan Sepanyol yang gagal mengurus dengan baik ekonomi mereka.

"Lihat saja negeri-negeri yang ditadbir pakatan pembangkang, tawaran manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kini hanya tinggal janji dan rakyat terus ditipu," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia sempena Tahun Baharu Cina Pergerakan Wanita Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dan Kelab Wanita di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak di sini semalam.

Yang turut hadir, isteri , Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin

Abdul Ghani berkata, program transformasi ekonomi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mula menampakkan keberkesanannya dan dijangka ekonomi negara terus kukuh dalam tempoh lapan tahun akan datang.

Menurutnya, negeri ini turut menerima faedah dengan kemasukan pelaburan antarabangsa dari Eropah, Jepun, China dan Singapura dengan melibatkan jumlah yang tinggi.

"Jadi, saya percaya kemajuan ekonomi negara akan terjejas sekiranya Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu berminat mahu menjadi Perdana Menteri memerintah negara ini," katanya.

Beliau berkata, ketika tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-12, negeri ini tidak menerima kesannya berbanding beberapa negeri lain kerana kaum Melayu, Cina dan India masih mempunyai keyakinan untuk kekal bersama Barisan Nasional (BN).

"Apa juga yang diperkatakan oleh pihak tertentu tentang Johor, saya yakin kedudukan BN di negeri ini masih lagi kukuh," katanya.

Justeru, beliau mahu rakyat terus dengan pendirian bersama BN agar gabungan itu mendapat kemenangan yang lebih besar dan mengekalkan Johor sebagai kubu kuat BN.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 05 MAC 2013

Tiada ulasan: