PENGUNJUNG SETIA

10 Mac 2013

15 TARIAN ZAPIN JOHOR DIPELIHARA

ABDUL Ghani Othman memasukkan ramuaan ke dalam gulai kawah pada Program Merakyatkan Seni Budaya Sentuhan Rakyat di Kompleks Sukan Tok Laji, Kampung Kesang Tasek dekat Sungai Mati, Ledang, Johor, semalam. 
 
LEDANG 9 Mac - Yayasan Warisan Johor sudah mengenal pasti 15 jenis tarian zapin di beberapa daerah di negeri ini yang berpotensi untuk dipelihara dan dikembangkan pada masa depan bagi mengelaknya lenyap ditelan zaman.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pihak yayasan tersebut melakukan kajian selama 15 tahun untuk menjejaki jenis tarian zapin tersebut dan ia dilihat sebagai satu usaha yang mampu menyemarakkan kegiatan seni budaya di negeri itu.

"Sehubungan itu, yayasan tersebut turut membangunkan guru-guru tarian zapin berkenaan supaya terus berkembang dan melahirkan kumpulan-kumpulan tarian zapin berkualiti tinggi.

"Sebab itu kita berjaya melahirkan kumpulan tarian zapin yang mempunyai kualiti tersendiri," katanya ketika berucap merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya Sentuhan Rakyat di Kompleks Sukan Tok Laji, Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati, dekat sini hari ini.

Program tersebut anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Johor. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Johor, Asiah Md. Ariff.

Abdul Ghani berkata, selain seni tarian zapin, Johor juga berjaya menyemarakkan kumpulan ghazal dan lagu-lagu keroncong yang dipancarkan melalui radio Best 104 pada setiap hari.

Sementara itu, beliau menegaskan, kemajuan sesebuah negeri akan tempang jika tumpuan hanya diberikan kepada usaha membangun ekonomi atau yang berbentuk kebendaan semata-mata dan Johor mengambil pendekatan pembangunan ekonomi yang seiring dengan seni budaya.

"Atas sebab yang sama jugalah kita mengharapkan kerajaan negeri Johor pada masa hadapan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan bidang kesenian dan kebudayaan sebagai jati diri masyarakatnya," ujarnya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 10 MAC 2013

Tiada ulasan: