PENGUNJUNG SETIA

11 Mac 2013

JOHOR MILIKI 15 JENIS ZAPIN

Abdul Ghani (kiri) mengacau gulai kawah pada Program Merakyatkan Seni Budaya ‘Sentuhan Rakyat’ di Kompleks Sukan Tok Laji, Kampung Kesang Tasek dekat Sungai Mati.
[ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL / BH ]
 
Ledang: Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengenal pasti 15 jenis tarian zapin di negeri itu, yang akan terus dikembangkan dalam usaha menyemarakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata kajian selama 15 tahun di peringkat akar umbi mendapati setiap daerah di Johor mempunyai jenis tarian zapin sendiri.

Lahir kumpulan tarian

Katanya, kerajaan negeri menerusi YWJ turut membangunkan kebolehan guru tarian zapin untuk dikembangkan di seluruh Johor dalam usaha melahirkan kumpulan tarian zapin bermutu tinggi.

"Pendekatan menerusi YWJ melatih dan melahirkan kumpulan tarian zapin di setiap daerah dapat menonjolkan kesenian itu sebagai jati diri Johor, selain ghazal dan keroncong.

"Pembentukan kumpulan kebudayaan di setiap peringkat sama ada daerah atau kampung, dapat menyemarakkan aktiviti seni dan budaya masyarakat," katanya ketika merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya `Sentuhan Rakyat', di Kompleks Sukan Tok Laji Kampung Kesang Tasek, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan Dan Warisan negeri, Asiah Md Arif; Timbalan Ketua Pengarah Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Mesran Mohd Yusof serta Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johor, Abdul Hamid Muhamad.

Abdul Ghani berkata, kemajuan sesebuah negeri akan menjadi tempang jika tumpuan hanya diberikan kepada usaha membangunkan ekonomi atau berbentuk kebendaan semata-mata.

Pembangunan seimbang

Katanya, pembangunan seni budaya juga perlu sejajar dengan pembangunan ekonomi lebih-lebih lagi negeri ini terkenal dan kaya dengan pelbagai kesenian serta kebudayaan masyarakat berbilang kaum.

"Pengisian program Merakyatkan Seni Budaya ini wajar dibawa ke peringkat masyarakat tempatan, yang mengamalkan cara hidup yang padat dengan budaya dan adat sebati dengan kehidupan mereka," katanya.

SUMBER: BH 11 MAC 2013

Tiada ulasan: