PENGUNJUNG SETIA

12 Mac 2013

GAMBUT BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP TIAN CHUA



Ahli Jawatankuasa Gabungan Melayu Bukit Gambir (GAMBUT) mengadakan bantahan terhadap kenyataan Tian Chua selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Gambir, Ledang. 

Ledang: Kecewa dengan tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang mendakwa serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah adalah sandiwara UMNO, Gabungan Melayu Bukit Gambir (GAMBUT) tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Gambir, semalam.

Pengerusi GAMBUT, Ramli Abd Rahman, berkata tindakan pemimpin pembangkang yang menyatakan kejadian yang mengorbankan pegawai dan anggota polis sebagai sandiwara politik adalah kenyataan dangkal dan semata-mata mahu menagih perhatian rakyat.

Katanya, kenyataan Tian Chua lebih kepada kepentingan politik untuk menghasut rakyat supaya membenci kerajaan selain satu penghinaan terhadap anggota pasukan keselamatan yang terkorban.

“Kami berpendapat kenyataan yang dibuat Tian Chua berunsur hasutan yang akan menyebabkan rakyat membenci kerajaan dan pasukan keselamatan selain menjatuhkan imej serta etika profesional pihak berkuasa.

“Kenyataan pemimpin pembangkang itu berbentuk fitnah dan penghinaan melampau terhadap UMNO. Bentuk hasutan yang dibuat itu juga boleh menggugat keselamatan negara,” katanya selepas membuat laporan polis bersama beberapa Ahli Jawatankuasa GAMBUT.

Mereka turut mengadakan bantahan aman di hadapan Balai Polis Bukit Gambir untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Tian Chua yang mengeluarkan kenyataan mengguris hati banyak pihak.

Ramli berkata, tindakan tegas perlu diambil ke atas Tian Chua sebagai pengajaran kerana kenyataan itu menunjukkan ada pihak yang memperlekeh usaha pihak berkuasa mengendalikan keselamatan negara.

Tiada ulasan: