PENGUNJUNG SETIA

06 Mac 2013

JENAYAH MENURUN: IPD LEDANG LEPASI KPI

Wartawan Sinar Harian
MUAR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang mencatatkan penurunan indeks jenayah dan jenayah jalanan tiga tahun berturut-turut sejak Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dilaksanakan di IPD itu pada 2010.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, indeks jenayah menurun sebanyak 8.5 peratus melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, manakala indeks jenayah jalanan pula menurun sebanyak 50 peratus.

Menurutnya, tahun lalu Jabatan Narkotik berjaya menangkap 119 penagih dadah sekaligus membantu mengurangkan kadar jenayah di daerah ini.

“Unit Ronda Bermotosikal (URB) yang baru saja ditubuhkan di IPD ini juga akan diperhebatkan lagi fungsinya kerana baru-baru ini pasukan tersebut berjaya menahan dua lelaki yang terbabit dalam kesalahan memiliki dadah dan jenayah peras ugut.

“Kejayaan ini tidak akan tercapai jika tanpa sumbangan daripada masyarakat dengan menyalurkan  maklumat kepada pihak polis menerusi aktiviti rondaan sukarela yang ditubuhkan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di Balai Polis Bukit Kepong dekat sini, semalam.

Pada perhimpunan itu beliau turut menyampaikan sijil perkhidmatan cemerlang dan sijil penghargaan kepada 46 pegawai dan anggota polis serta empat orang awam.

Dalam pada itu, Harun meminta anggota polis supaya mengambil iktibar di sebalik peristiwa yang berlaku di Bukit Kepong dan Lahad Datu, Sabah ketika ini.

“Contohi semangat juang dimiliki oleh anggota-anggota terkorban dalam dua insiden ini yang menjadi sejarah negara ini.

“Sememangnya anggota keselamatan perlu mempunyai semangat juang yang tinggi dan sentiasa bersedia apabila diperlukan bila-bila masa untuk mempertahankan negara,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 06 MAC 2013

Tiada ulasan: