TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

07 Mac 2013

60 PEMBELI RUMAH LEGA

Wartawan Sinar Harian
LEDANG – Seramai 60 pembeli rumah teres dua tingkat kos sederhana di Taman Tangkak Emas di sini, lega apabila  projek perumahan yang terbengkalai sejak lapan tahun lalu itu akan dibaik pulih dan disiapkan selewat-lewatnya dalam tempoh 10 bulan.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) adalah syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil alih projek bermasalah itu daripada pemaju asal menerusi kos baik pulih sebanyak RM20 juta.

Ketua Pegawai Teknikal SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, fasa kedua projek perumahan seluas 6.6 hektar itu  melibatkan 60 unit rumah teres dan ketika diambil alih, ia terbengkalai pada peringkat pembinaan struktur,  manakala satu lagi blok sudah mencapai peringkat pembinaan bumbung.

“Kos keseluruhan pemulihan projek perumahan berkenaan lebih RM20 juta meliputi kos pemulihan, kajian dan penyelesaian hutang lama bagi membolehkan proses pemulihan taman perumahan itu bermula.

“Proses pemulihan itu dimulakan Disember lalu kerana pihaknya perlu menyelesaikan urusan membabitkan perundangan yang mengambil masa agak lama,” katanya selepas majlis taklimat pemulihan projek perumahan berkenaan di Dewan Jubli Intan, Tangkak, di sini, kelmarin.

Ahmad Azizi berkata, jika pihak kontraktor yang baru dilantik itu dapat menyelesaikan kerja dalam tempoh ditetapkan iaitu antara lapan hingga 10 bulan, rumah berkenaan dijangka dapat disiapkan selewat-lewatnya awal tahun depan.

Sementara itu, pembeli, Rosewahani Wahab, 40, berkata, dia membeli rumah itu pada 2003 dan dijanjikan akan siap pembinaan dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Bagaimanapun menurutnya, dia dikejutkan dengan berita pihak pemaju menghilangkan diri termasuk menutup pejabat mereka selepas itu menerusi rakan pembeli lain.

“Saya amat kecewa kerana impian untuk memiliki rumah sendiri tidak tercapai selain terpaksa menanggung hutang bayaran balik pinjaman kepada pihak bank sejak 2005.

“Hari ini, saya sangat lega kerana SPNB tampil membantu menyelesaikan projek berkenaan dan saya sekeluarga sangat berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.

Manakala, M Maruthan, 42, dari Tangkak, pula berkata, tindakan pantas kerajaan mengambil alih projek tersebut membuktikan kerajaan amat mengambil berat masalah dihadapi rakyat terutama apabila rumah dibeli gagal disiapkan.

“Saya teruja untuk mendiami rumah idaman bersama keluarga dan sekali gus kegembiraan ini dapat melenyapkan kesedihan yang saya tanggung sejak lapan tahun lalu,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 07 MAC 2013

Tiada ulasan: